Untung Bersih Marine & General pada 4QFY25 susut 2.81% kepada RM17.61 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Bersih Marine & General pada 4QFY25 susut 2.81% kepada RM17.61 juta

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 1 Julai – Untung bersih Marine & General Bhd (M&G) pada suku keempat berakhir 30 April 2025 (4QFY25) menyusut 2.81% kepada RM17.61 juta berbanding RM18.21 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, prestasi itu terkesan selepas pengiktirafan aset cukai tertunda berjumlah RM17.9 juta oleh bahagian huluan.

 

Bagaimanapun, hasil turut meningkat sebanyak 12.81% kepada RM93.81 juta daripada RM83.16 juta pada 4QFY24 dipacu sumbangan lebih kukuh daripada kedua-dua segmen huluan dan hiliran.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025 (FY25), untung bersih kumpulan susut 6.2% kepada RM44.12 juta berbanding RM47.04 juta pada tahun sebelumnya, manakala hasil naik sedikit 1.21% kepada RM352.23 juta daripada RM348.02 juta.

 

Walaupun kadar penggunaan kapal mencatat penurunan sepanjang tahun, kesannya diimbangi oleh peningkatan kadar sewaan serta sumbangan daripada aktiviti pengurusan kapal pihak ketiga.

 

Penggunaan kapal bagi segmen huluan berada pada 70%, berbanding 78% dalam FY24, manakala bagi segmen hiliran, kadar tersebut menurun kepada 80% daripada 84% sebelumnya.

 

M&G menjangkakan permintaan kapal sokongan luar pesisir bagi segmen huluan akan mengalami sedikit penurunan, sejajar kelewatan yang dijangka dalam beberapa projek medan baharu.

 

Namun, kekurangan berterusan kapal berdaftar tempatan dijangka menyokong permintaan terhadap kapal domestik.

 

Bagi segmen hiliran, M&G menjangkakan tahap operasi kekal stabil, disokong permintaan berterusan terhadap kapal tangki berdaftar Malaysia.

 

Kumpulan itu juga memberi amaran risiko luaran termasuk ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar ekonomi global kekal menjadi faktor utama dipantau.

 

Saham M&G ditutup dua sen atau 8.89% lebih rendah pada 20.5 sen, memberikan nilai pasaran sekitar RM160 juta.- DagangNews.com