Untung bersih KLK berpotensi melonjak 40% didorong pemulihan pengeluaran buah tandan segar, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih KLK berpotensi melonjak 40% didorong pemulihan pengeluaran buah tandan segar, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) berpotensi mencatatkan lonjakan untung bersih sebanyak 40% pada FY25 didorong pemulihan pengeluaran buah tandan segar (BTS), kata RHB Research.

 

Katanya, pengurusan kumpulan berharap BTS dan input utama untuk pengeluaran minyak sawit dijangka pulih sebaik sahaja cuaca kembali normal dan bertukar mencatatkan pertumbuhan pada FY25.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Indonesia berkemungkinan memacu pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan. 

 

"Kami kekal yakin dengan prospek KLK. FY25 seharusnya menjana pendapatan yang lebih kukuh kerana output dijangka pulih manakala kos mungkin menjadi sederhana," katanya dalam satu nota kajian.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengunjurkan keuntungan bersih KLK meningkat kepada RM1.2 bilion untuk FY25 berbanding RM853 juta pada FY24.

 

RHB Research menaikkan harga sasarannya kepada RM25.40 daripada RM24.80, dan mengekalkan saham pada panggilan "beli". 

 

Terdapat 13 penarafan "pegang", enam "beli", dan tiada panggilan "jual" dalam kalangan rumah penyelidikan yang dijejaki oleh Bloomberg.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengeluaran dijangka kekal di bawah RM2,000 setiap tan, hasil daripada baja yang lebih murah daripada jangkaan, kata RHB Research. 

 

Katanya, kos buruh hanya akan meningkat sedikit daripada gaji minimum yang lebih tinggi iaitu RM1,700 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan margin penapisan negatif bagi segmen hiliran

 

“Melangkah ke hadapan, pihak pengurusan berkata, mungkin tidak ada pemulihan yang ketara untuk subsegmen penapisan pada FY25, memandangkan persekitaran yang sangat kompetitif,” kata syarikat itu.

 

Segmen hartanah dilihat semakin menarik kerana syarikat itu mencari rakan usaha sama yang berpotensi untuk membangunkan tanah seluas 1,011 hektar di Kulai, Johor, menjadi taman perindustrian.

 

Katanya, KLK akan mendapat manfaat daripada keuntungan jualan tanah dan keuntungan pembangunan hartanah sebaik sahaja usaha sama itu ditubuhkan. - DagangNews.com