Untung bersih Kawan Food jatuh 74% kepada RM8.1 juta bagi FY25 akibat kerugian tukaran wang asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Kawan Food jatuh 74% kepada RM8.1 juta bagi FY25 akibat kerugian tukaran wang asing

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MeiKawan Food Berhad mencatatkan kemerosotan ketara 74.34% keuntungan bersih kepada sebanyak RM8.12 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).


Pencapaian terburuk sejak tahun kewangan 2007 itu, jelas kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, amat jauh berbanding keuntungan bersih RM31.65 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (FY24).


Menurutnya, prestasi berkenaan disebabkan terutamanya oleh faktor peningkatan kerugian bersih pertukaran mata wang asing (forex) serta penyusutan hasil pendapatan kumpulan tersebut sendiri.


"Berdasarkan analisis laporan tahunan terbaharu yang dikeluarkan, pendapatan kumpulan bagi tahun tersebut merosot kepada RM252,938,934 daripada RM317,548,594 pada tahun 2024," jelas Kawan Food.


Selain itu, syarikat ini turut menanggung kerugian bersih pertukaran forex yang lebih tinggi mencecah jumlah RM6,954,305, meningkat ketara berbanding RM2,020,826 bagi tempoh sama tahun lalu.


Kelemahan berkenaan juga tambah kumpulan itu, dipengaruhi oleh beberapa faktor lain, termasuk kerugian kemerosotan nilai ke atas pelaburan dalam syarikat usaha sama (JV) berjumlah RM2,058,847.


Bagaimanapun, Lembaga Pengarah Kawan Food berpendapat, keputusan FY25 masih tidak terjejas secara substansial oleh mana-mana item, transaksi atau peristiwa yang bersifat material dan luar biasa.


"Meskipun mencatatkan penurunan keuntungan, syarikat tetap komited memberi pulangan kepada pemegang saham dengan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham biasa," jelasnya. 


Tambah kumpulan berkenaan, pengagihan dividen yang secara keseluruhan itu berjumlah RM3,396,023 tersebut sudah diisytiharkan pada 28 Ogos 2025 dan dibayar sepenuhnya pada 8 Oktober 2025.


Menyentuh mengenai prospek masa hadapan, Kawan Food kekal yakin sebagai pemain utama dalam industri pembuatan serta pengedaran produk makanan sejuk beku di pasaran tempatan dan global.


Laporan kewangan yang diaudit ini ditandatangani bagi pihak Lembaga Pengarah syarikat tersebut oleh Gan Thiam Chai dan Gan Ka Bien pada 29 April 2026. - DagangNews.com