KUALA LUMPUR 28 Okt - Untung bersih Johor Plantations Group Berhad diunjur meningkat antara 5% hingga 10% pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25), disokong kenaikan harga produk sawit dan peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS).
AmInvestment Bank Berhad (AmInvest) berkata, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan harga purata minyak sawit mentah (MSM) naik 5.3% kepada RM4,271 satu tan pada 3QFY25 berbanding RM4,056 satu tan pada 2QFY25.
Katanya, bagi kos pengeluaran MSM, Johor Plantations dijangka menanggung kos dalaman sekitar RM2,150 hingga RM2,160 satu tan pada 3QFY25, sedikit meningkat berbanding RM2,147 satu tan pada 2QFY25, disebabkan penggunaan baja yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, kesan itu sebahagiannya diimbangi peningkatan jumlah pengeluaran MSM serta pendapatan daripada isirung sawit.
"Unjuran keuntungan bersih FY25 kumpulan dinaikkan sebanyak 2.9% bagi mencerminkan margin keuntungan kasar lebih kukuh pada 37% berbanding 36.5% sebelum ini, disokong oleh kredit isirung sawit dan premium Pensijilan Minyak Sawit Mampan (RSPO) yang lebih tinggi.
"MPOB melaporkan harga purata isirung sawit meningkat 42.7% tahun ke tahun kepada RM3,453 satu tan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, melangkah ke suku keempat, kos dijangka meningkat sedikit lagi susulan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan pengeluaran BTS yang menurun secara bermusim.
Selain itu, katanya, loji penapisan sawitnya dijangka siap dan mula beroperasi pada separuh kedua FY26, dengan kapasiti pengeluaran 150,000 tan setahun.
Loji itu dianggarkan mampu menjana keuntungan bersih sekitar RM7.5 juta setahun, dengan bahagian Johor Plantations sebanyak RM3.8 juta, walaupun sumbangan ini belum diambil kira dalam unjuran keuntungan FY27F.
"Johor Plantation yang beroperasi terutamanya di Johor, kini memberi tumpuan kepada segmen huluan rantaian bekalan minyak sawit dan merancang untuk berkembang ke segmen penapisan sawit.
"Keupayaan kumpulan turut disokong pensijilan RSPO Identity Preserved (IP) yang membolehkannya menjual MSM pada premium RM100 hingga RM250 satu tan berbanding harga purata MPOB," katanya.
AmInvest mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.72 sesaham.- DagangNews.com








