Untung bersih IOI Corp pada 3QFY25 dianggar naik dipacu peningkatan harga jualan produk oleokimia - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih IOI Corp pada 3QFY25 dianggar naik dipacu peningkatan harga jualan produk oleokimia - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Untung bersih IOI Corp Bhd pada 3QFY25 dianggar lebih tinggi dipacu peningkatan harga jualan produk oleokimia bagi mengimbangi kenaikan kos minyak isirung sawit, kata AmInvestment Bank Research.

 

Katanya, pendapatan oleokimia yang lebih kukuh dijangka mengimbangi kelemahan margin penapisan yang masih terkesan akibat persaingan sengit dari Indonesia.

 

"Kami berpendapat margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) pembuatan (penapisan dan oleokimia) akan meningkat kepada 2.5% hingga 3% dalam 3QFY25 daripada 1.2% pada 2QFY25.

 

"IOI diyakini akan menaikkan harga jualan produk asid lemak berikutan peningkatan kos bahan mentah iaitu minyak isirong sawit dan stearin sawit," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan industri huluan IOI dijangka menurun dari suku tahun ke suku tahun pada 4QFY25 kesan kemerosotan pengeluaran buah tandan segar (BTS).

 

Katanya, harga purata minyak sawit mentah (MSM) diramal lebih rendah pada 3QFY25 berbanding 2QFY25 manakala purata harga spot Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ialah RM4,715/tan pada dua bulan pertama 2025 berbanding RM4,840/tan pada suku keempat 2024.

 

"Bagaimanapun, pada asas tahunan, EBITDA huluan IOI pada 3QFY25 dijangka lebih tinggi daripada 3QFY24 didorong oleh harga MSM yang lebih tinggi," katanya.

 

AmInvestment percaya, kos pengeluaran MSM bagi setiap tan adalah mendatar pada RM2,500/tan pada FY25. 

 

Katanya, walaupun kos baja dijangka lebih rendah, ia akan diimbangi oleh gaji yang lebih tinggi dan tekanan inflasi yang lain.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com