Untung bersih Gas Malaysia jatuh kepada RM92.8 juta bagi 1QFY26 selari kemerosotan harga jualan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Gas Malaysia jatuh kepada RM92.8 juta bagi 1QFY26 selari kemerosotan harga jualan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 MeiGas Malaysia Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM92.84 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, mencerminkan penurunan 7.3% berbanding tempoh sama tahun lalu.


Prestasi tersebut didorong terutamanya oleh margin sumbangan gas asli purata yang lebih rendah, selari dengan kemerosotan harga jualan gas asli secara purata sepanjang tempoh tinjauan tiga bulan itu.


Penyusutan ini turut dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk pendapatan kewangan, perkongsian  syarikat usaha sama (JV) berkurangan, serta peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan.


"Bagaimanapun, kesan penurunan ini sudah pun dikurangkan oleh volum jualan gas asli yang didapati lebih tinggi ketika suku tersebut," jelas Gas Malaysia dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Pendapatan syarikat berkenaan bagi tempoh tersebut tambah kumpulan itu, turut jatuh iaitu sebanyak 13.7% kepada RM1.59 bilion berbanding RM1.84 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2025.


Berdasarkan kepada perkembangan itu ujar syarikat tersebut, pendapatan sesaham (EPS) bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak 7.23 sen, turun sedikit daripada 7.80 sen pada tahun sebelumnya.


Menyentuh mengenai prospek masa depan, Gas Malaysia menyatakan komitmen untuk terus mengutamakan kecekapan operasi dan memperkukuh kedudukan kompetitif dalam mengharungi persekitaran semasa. 


"Selaras dengan hala tuju jangka panjang di bawah pelan dikenali GM32, kumpulan akan menilai dan mengejar peluang secara selektif dalam segmen perniagaan yang berkaitan tenaga baharu," katanya.


Sementara itu, bagi kedudukan kewangan, setakat 31 Mac 2026, aset bersih sesaham syarikat tersebut yang boleh diagihkan kepada kesemua pemegang ekuiti biasa berada pada paras sebanyak 110.89 sen. 


Sebelum ini pada 17 Mac 2026, Lembaga Pengarah Gas Malaysia mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 9.30 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com