Untung bersih FGV naik kepada RM276.25 juta pada FY24 didorong harga minyak sawit mentah lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih FGV naik kepada RM276.25 juta pada FY24 didorong harga minyak sawit mentah lebih tinggi

KUALA LUMPUR 28 Feb - Untung bersih FGV Holdings Bhd melonjak kepada RM276.25 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berbanding RM101.62 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil juga meningkat kepada RM22.16 bilion berbanding RM19.36 bilion sebelumnya, didorong purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi direalisasikan pada RM4,102 satu tan, naik daripada RM3,901 satu tan, bersama dengan jumlah jualan yang lebih tinggi dan peningkatan sumbangan daripada bahagian gula.

 

“Bahagian perladangan mencatatkan keuntungan yang jauh lebih tinggi iaitu RM260.66 juta, berbanding RM38.72 juta pada tahun kewangan sebelumnya (FY23).

 

"Pertumbuhan ini didorong peningkatan 9% dalam pengeluaran tandan buah segar (BTS), yang meningkat kepada 3.97 juta tan daripada 3.62 juta tan, memberikan hasil yang lebih tinggi sebanyak 15.56 tan sehektar, meningkat daripada 13.59 tan sehektar," katanya.

 

Sementara itu, FGV berkata, bahagian gula melaporkan keuntungan RM79.33 juta, peningkatan ketara daripada kerugian RM23.15 juta pada FY23.

 

"Keuntungan didorong margin lebih baik daripada harga jualan purata yang lebih tinggi, peningkatan jumlah jualan, dan insentif yang diterima untuk gula pek tertentu yang dijual di pasaran domestik dan penggunaan kapasiti yang lebih baik," katanya.

 

Pada suku keempat FY24 (4QFY24), FGV mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM116.21 juta berbanding RM70.44 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM5.92 bilion daripada RM5.36 bilion.

 

Mengenai prospek, FGV berkata, harga MSM dijangka kekal tinggi pada separuh pertama 2025 berikutan rali akhir tahun yang berterusan hingga tahun baharu berikutan pengeluaran BTS yang lebih rendah secara bermusim, peningkatan mandat biodiesel Indonesia dan bekalan minyak sayuran yang lebih ketat.

 

"Bahagian perladangan dijangka mengukuhkan operasinya untuk mencapai sasaran kadar hasil dan perahan minyak kumpulan. Bahagian gula kami mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran domestik dan eksport sambil meneroka peluang serantau," katanya.

 

FGV juga berkata, kumpulan itu terus berhubung dengan kerajaan mengenai mekanisme penetapan harga yang mampan untuk kestabilan industri.

 

Sementara itu, bahagian logistik dan sokongan sedang meningkatkan kapasiti dan kebolehpercayaan bagi memenuhi permintaan terhadap produk bernilai tinggi sambil menumpukan pada pengoptimuman kos, perkongsian dan pengembangan rangkaian untuk memacu pertumbuhan.

 

"Kumpulan itu kekal komited terhadap operasi yang bertanggungjawab, berpandukan rangka kerja kemampanannya yang dipertingkatkan. Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga menjangka prestasi kumpulan akan bertambah baik dalam tahun kewangan semasa," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, 2024 sememangnya mencabar namun memberi ganjaran, membuktikan daya tahan FGV dalam pasaran yang semakin dinamik dan terkawal.

 

“Turun naik harga MSM disebabkan anjakan permintaan bekalan global dan ketegangan geopolitik, manakala pensijilan dan piawaian kemampanan yang lebih ketat seperti Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) mendorong kami untuk meningkatkan kemampuan.

 

"Selepas 2023 yang sukar, kami kembali lebih kukuh, memberikan hasil kukuh yang mengesahkan kedudukan kami sebagai pemain perniagaan tani terkemuka," katanya.

 

Kumpulan itu mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak 5.0 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada jumlah pembayaran dividen kira-kira RM182.41 juta. - DagangNews.com