KUALA LUMPUR 26 Mac - Untung bersih Marine and General Bhd pada suku ketiga berakhir 31 Januari 2025 (3QFY25) susut 80.8% kepada RM2.55 juta berbanding RM13.22 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan penggunaan kapal yang lebih rendah disebabkan pembaikan serta penyelenggaraan berjadual.
Kumpulan itu berkata, keadaan itu juga disebabkan pelupusan dua kapal tangki pada tahun kewangan sebelumnya.
Katanya, hasil bagi suku berkenaan juga susut kepada RM74.16 juta berbanding RM88.4 juta pada 3QFY24.
"Bagi tempoh tersebut, segmen huluan mencatatkan hasil sebanyak RM59.1 juta, 13.3% lebih rendah daripada suku tahun sebelumnya dan penyusutan itu sejajar dengan penggunaan kapal yang lebih rendah disebabkan tiada penyewa semasa musim tengkujuh serta untuk dok kapal untuk pembaikan dan penyelenggaraan.
"Bahagian hiliran mencatatkan hasil sebanyak RM15 juta bagi suku semasa, penyusutan hasil sebanyak 25.5% berikutan dua kapal pada tahun sebelumnya dan penggunnan kapal yang rendah," katanya daam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Mengulas mengani prospek, kumpulan itu berkata, bagi bahagian huluan, permintaan kapal dijangka berterusan selaras dengan aktiviti luar pesisir dan projek yang sedang dijalankan.
Katanya, perkembangan kawal selia dalam sektor minyak dan gas terus dipantau untuk potensi implikasi ke atas operasi.
Bagi bahagian hiliran, kumpulan itu menjangkakan tahap operasi yang stabil, disokong permintaan yang konsisten untuk kapal tangki Malaysia.
"Pelupusan dua kapal tahun lepas telah melaraskan kapasiti armada bahagian dan sebarang pembesaran masa hadapan akan dinilai berdasarkan keadaan pasaran dan keperluan operasi," katanya.- DagangNews.com








