KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bumi Armada Bhd mencatatkan penurunan untung bersih kepada RM80.03 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), berbanding RM265.96 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu perolehan kumpulan turut menyusut kepada RM407.12 juta daripada RM578.86 juta sebelumnya.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025, Bumi Armada merekodkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM262.80 juta berbanding RM506.50 juta tahun lalu, manakala hasil kumpulan menurun kepada RM881.09 juta daripada RM1.21 bilion sebelum ini.
Pendapatan lebih rendah daripada Armada Kraken FPSO
Syarikat menjelaskan segmen operasi menyumbang hasil lebih rendah, terutamanya daripada Armada Kraken Floating Production, Storage and Offloading (FPSO) berikutan bermulanya tempoh pilihan tahunan sewa pada April 2025 dengan kadar sewa lebih rendah.
Namun, pada tahun lalu, hasil daripada Armada Olombendo FPSO lebih tinggi berikutan penyelesaian isu tertunggak dengan penyewa yang merangkumi kenaikan fi operasi mengikut perjanjian sewa.
Walaupun keuntungan lebih rendah, Bumi Armada mengekalkan kedudukan aliran tunai yang sihat dengan menjana RM373 juta aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi dalam 2Q 2025.
Baki tunai kumpulan masih melebihi RM1.4 bilion, walaupun telah membayar dividen kepada pemegang saham serta mengurangkan hutang sebanyak AS$63.4 juta pada suku tersebut.
Pada akhir 2Q 2025, buku pesanan syarikat berjumlah RM9.1 bilion, dengan tambahan opsyen lanjutan sehingga RM9.2 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson, berkata keputusan tersebut membuktikan keupayaan syarikat untuk terus menjana aliran tunai bermakna hasil prestasi cemerlang armada sedia ada, meskipun kadar sewa Armada Kraken lebih rendah dalam tempoh pilihan tahunan.
“Walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MISC Bhd telah tamat, kami tetap berusaha memanfaatkan kekuatan kewangan untuk berkembang melalui pembidaan projek baharu dan meneroka potensi aktiviti korporat secara berdisiplin,” katanya. - DagangNews.com








