KUALA LUMPUR 15 Mei – UMW Toyota Motor Sdn Bhd mencatat jualan sebanyak 6,464 unit pada April 2026, meneruskan momentum prestasi kukuh syarikat itu sejak awal tahun dengan jualan terkini mencecah 21,924 unit.
Prestasi berkenaan didorong oleh aktiviti produk yang berterusan, pengukuhan penawaran kereta elektrik dan hibrid serta usaha berterusan syarikat dalam menyediakan pilihan kenderaan yang lebih luas kepada pelanggan di Malaysia.
UMW Toyota dalam satu kenyataan berkata, perkembangan landskap tenaga dan mobiliti negara yang semakin berubah turut mendorong syarikat mempercepatkan hala tuju elektrifikasinya melalui pendekatan Multi-Pathway Toyota.
“Pendekatan itu memberi tumpuan kepada pelbagai penyelesaian mobiliti yang disesuaikan dengan keperluan dunia sebenar, tahap kesediaan pelanggan serta cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka dalam kehidupan seharian.
“Antara model yang diketengahkan termasuk Toyota bZ4X, Urban Cruiser BEV dan Hilux BEV yang mengukuhkan penawaran kenderaan elektrik bateri (BEV) Toyota di Malaysia. Selain itu, Yaris Cross baharu turut menambah pilihan elektrifikasi dalam segmen B-SUV,” katanya dalam kenyataan itu.
UMW Toyota menjelaskan, kenderaan elektrik hibrid (HEV) pula kekal sebagai pilihan praktikal bagi pelanggan yang mahukan penjimatan bahan api dan pengalaman pemanduan lebih lancar tanpa keperluan pengecasan luaran.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, pendekatan Multi-Pathway Toyota memberi fleksibiliti kepada pelanggan untuk memilih teknologi mobiliti yang paling sesuai dengan gaya hidup dan keperluan masing-masing.
“Sesetengah pelanggan mungkin lebih selesa dengan HEV untuk kegunaan harian, manakala sebahagian lain sudah bersedia beralih kepada kenderaan elektrik penuh (BEV), dan Toyota mahu memenuhi kedua-dua segmen tersebut,” katanya.
Selain penawaran produk, UMW Toyota turut memperkukuh pengalaman pemilikan pelanggan melalui program Toyota Extra Mile serta kempen aplikasi Toyota MY yang berlangsung dari April hingga Jun 2026.
Program berkenaan menawarkan ganjaran, perlindungan, kemudahan dan ketenangan minda kepada pelanggan, termasuk mata ganjaran Loyal-T yang boleh ditebus untuk baucar servis melalui aplikasi tersebut.- DagangNews.com








