KUALA LUMPUR 30 Jun - UMS Integration Limited, bakal disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1 Ogos 2025, sekali gus menjadi syarikat awam Singapura pertama yang tersenarai di Bursa Malaysia dan Bursa Singapura (SGX) serentak.
UMS yang kini mempunyai modal pasaran sekitar S$970 juta (RM3.2 bilion), mengeluarkan prospektus hari ini bagi penyenaraian tersebut yang akan dibuat melalui kaedah pengenalan (introduction), tanpa sebarang terbitan saham baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif UMS, Luong Andy berkata, penyenaraian di Bursa Malaysia bertujuan menarik lebih ramai pelabur, meningkatkan kecairan saham dan membuka peluang pembiayaan pada masa depan.
"Ini langkah besar untuk syarikat. Kami yakin Bursa Malaysia adalah platform strategik untuk mengembangkan pangkalan pelabur dan menyokong pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
UMS menyediakan perkhidmatan kejuruteraan berketepatan tinggi seperti pemesinan, fabrikasi logam, rawatan permukaan dan pemasangan modul terutamanya untuk sektor semikonduktor dan aeroangkasa.
Pelanggannya termasuk syarikat Fortune 500 dan syarikat tersenarai di bursa utama seperti Bursa Saham New York (NYSE), Pasaran Modal Nasdaq, SGX dan Euronext Paris.
Syarikat tersebut juga mempunyai kehadiran kukuh di Pulau Pinang, dengan kawasan operasi seluas 689,870 kaki persegi, yang menjadi sebahagian penting dalam rantaian bekalan di Asia Tenggara.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, UMS mencatat pendapatan sebanyak S$242.1 juta (RM801.08 juta) dan keuntungan bersih S$40.6 juta (RM134.34 juta), dengan margin keuntungan 16.8%.
Syarikat juga mengekalkan aliran tunai positif lebih 10 tahun dan memiliki tunai bersih sebanyak S$0.11 (36 sen) sesaham.
UMS turut mengagihkan dividen S$0.052 (17 sen) sesaham bagi tahun 2024, dengan hasil dividen kira-kira 4% berdasarkan harga saham semasa di Singapura.
TA Securities Holdings Berhad merupakan penasihat utama penyenaraian sekunder berkenaan, manakala CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com








