KUALA LUMPUR 21 Feb - UEM Sunrise Bhd menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.05 bilion daripada pelancaran projek hartanah baharu bernilai RM2 bilion pada tahun kewangan 2025 (FY25), kata RHB Research.
Katanya, pelancaran projek hartanah baharu itu terdiri daripada Subiaco, Perth dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion yang akan dilancarkan pada suku kedua 2025 serta projek di Iskandar Malaysia dengan GDV RM437 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun jumlah pelancaran projek yang dirancang di Johor mungkin kelihatan kecil tetapi kumpulan itu dipercayai mempunyai fleksibiliti untuk melancarkan lebih banyak projek jika pasaran kekal kondusif.
"UEM Sunrise dijangka dapat menghasilkan nilai yang lebih baik pada masa hadapan, apabila kebanyakan komponen pembangunan utamanya memberikan lebih keterlihatan.
"GDV yang dilancarkan kumpulan itu pada FY24 telah meningkat sebanyak RM154 juta, memberikan potensi peningkatan nilai yang lebih tinggi untuk pelancaran masa depan di selatan tanah air," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: UEM Sunrise catat jualan RM1.42 bilion atasi sasaran RM1 bilion pada FY24
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM54.3 juta, meningkat 98.7% daripada RM27 juta pada suku yang sama pada 2023.
Hasil UEM Sunrise, meningkat 28% kepada RM540 juta daripada RM422 juta yang sebelumnya dipacu segmen pembangunan hartanah, yang mencatatkan pertumbuhan 48%.
Ini disokong penyiapan Residensi Allevia di Mont'Kiara, bersama-sama dengan kemajuan projek yang baru dilancarkan Aspira Hills dan Aspira LakeHomes (Fasa 4, 5 dan 6) di wilayah selatan, serta Intrika dan Serene Square di wilayah tengah.
RHB Research menyemak naik ramalan pendapatan kumpulan sebanyak 14% dan 15% bagi FY25-FY26 didorong jualan hartanah yang kukuh serta penngkatan jualan tidak dibil kepada RM3.04 bilion berbanding RM2.89 bilion pada 3QFY24.
"Kami percaya kejayaan pelancaran projek sebelum ini dan projek baharu di Iskandar Malaysia akan terus memacu pendapatan.
"Selain menjadi proksi terbaik untuk pertumbuhan berbilang tahun di Iskandar Malaysia, UEM Sunrise boleh menerima manfaat daripada projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura jika kerajaan mengembalikan semula projek itu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham.- DagangNews.com








