KUALA LUMPUR 14 Nov – U Mobile mencapai satu lagi pencapaian penting apabila berjaya memperoleh pembiayaan sindiket berjumlah RM4.3 bilion, sekali gus menjadikannya antara pembiayaan sindiket ringgit terbesar oleh sebuah syarikat tidak tersenarai di Malaysia.
Pembiayaan 10 tahun itu dikoordinasikan oleh CIMB Investment Bank Berhad sebagai Sole Loan Coordinator dan Joint Mandated Lead Arranger, manakala CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad bertindak sebagai pihak pembiaya utama.
Ia turut disertai Maybank Islamic Bank Berhad, AmBank Islamic Bank Berhad dan UOB Malaysia sebagai Joint Mandated Lead Arrangers dan pembiaya bersama.
Menurut U Mobile, dana tersebut akan digunakan untuk pembiayaan perbelanjaan modal (CAPEX) dan modal kerja bagi melaksanakan rangkaian 5G generasi seterusnya, dengan sasaran mencapai 80% liputan kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang separuh kedua 2026.
Ia juga akan mempercepat peluasan pengalaman ULTRA5G di seluruh negara sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, kejayaan mendapatkan pembiayaan RM4.3 bilion itu mencerminkan keyakinan kukuh institusi kewangan terhadap strategi 5G syarikat itu.
“Ini menunjukkan keyakinan kuat bank-bank utama terhadap pelaksanaan pelan perniagaan 5G kami dan prospek pertumbuhan jangka panjang.
Kami telah memulakan pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh Malaysia sejak pertengahan 2025, dan kemudahan baharu ini akan mempercepat sasaran liputan dan mengukuhkan komitmen kami terhadap ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, U Mobile kini berada di hadapan jadual pelaksanaan rangkaian dan yakin mencapai 80% CoPA menjelang separuh kedua tahun depan.
Beliau berkata, rangkaian peringkat perusahaan dengan keupayaan 5G-Advanced akan memberi manfaat besar kepada sektor awam dan swasta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Wholesale Banking, Chu Kok Wei berkata, pembiayaan tersebut akan menyokong pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu U Mobile.
“Kami menyasarkan untuk mengukuhkan kesalinghubungan dan merangsang agenda pendigitalan negara melalui pembiayaan ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Banking Maybank, Datuk John Chong berkata, sebagai peneraju kewangan Islam global, Maybank berbangga dapat menyediakan pembiayaan patuh Syariah untuk pembangunan rangkaian 5G kedua negara.
“Ia akan membolehkan industri seperti pembuatan berteknologi tinggi dan kesihatan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi AI,” katanya.
Pengarah Urusan Wholesale Banking AmBank Group, Datuk Jamzidi Khalid pula berkata, pembiayaan sindiket itu mengukuhkan komitmen AmBank dalam menyokong sektor telekomunikasi serta aspirasi 5G negara.
“Ia mencerminkan keyakinan kami terhadap strategi pertumbuhan U Mobile dan peranannya dalam memacu infrastruktur digital Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wholesale Banking UOB Malaysia, Andy Cheah berkata, sokongan berterusan UOB melalui pembiayaan dipertingkat itu akan membuka peluang inovasi baharu dan mengukuhkan ekonomi digital negara.
“Kami yakin dengan visi dan keupayaan pelaksanaan U Mobile,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Mandarin Oriental dan disempurnakan oleh Wong Heang Tuck; Datuk Jamzidi Khalid; Chu Kok Wei; Datuk John Chong; serta Andy Cheah. - DagangNews.com








