KUALA LUMPUR 12 Feb – TXCD Bhd yang dikategorikan sebagai syarikat PN17 memperoleh dua kontrak daripada Vestland Resources Sdn Bhd (VRSB) bagi melaksanakan kerja-kerja subkontrak pembinaan bernilai keseluruhan RM119.14 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TXCD berkata surat anugerah (LOA) tersebut diterima menerusi anak syarikatnya, Ageson Kensetsu Sdn Bhd pada 11 Februari 2026 dan melibatkan dua projek berasingan di Kuala Lumpur.
“Bagi projek pertama, Ageson Kensetsu dilantik untuk membina dan menyiapkan kerja-kerja struktur serta seni bina podium bagi pembangunan di Lot 1666, 1667, 1668 dan 1669, Seksyen 41, Lorong Raja Uda 2, Mukim Bandar Kuala Lumpur.
Nilai kontrak bagi projek ini adalah pada harga tetap RM63.79 juta, dengan tempoh pembinaan bermula 11 Februari 2026 hingga 31 Julai 2027.
“Projek kedua pula melibatkan kerja-kerja pembinaan struktur podium serta kerja-kerja luaran termasuk jalan dan sistem perparitan dalam kawasan sempadan bagi pembangunan di Lot 124 hingga Lot 128, Seksyen 44, Jalan Ampang.
“Kontrak ini bernilai RM55.35 juta dan dijadualkan bermula pada 11 Februari 2026 serta siap pada 10 Jun 2027,” katanya dalam makluman itu.
TXCD adalah syarikat yang dikategorikan sebagai PN17 pada November 2023 selepas juruauditnya menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan serta beberapa transaksi yang dilakukan syarikat itu.
Menurut TXCD, skop kerja merangkumi penyediaan bahan, barangan serta mutu kerja mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan dalam dokumen subkontrak oleh VRSB.
VRSB merupakan syarikat pembinaan yang diperbadankan di Malaysia pada 26 Januari 2011 dan dimiliki sepenuhnya oleh Vestland Bhd.
Aktiviti utamanya adalah sebagai pembina dan kontraktor kerja-kerja pembinaan.
TXCD berkata kontrak tersebut akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan pada masa hadapan.
Penerimaan kontrak ini bagaimanapun tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama syarikat.
Lembaga pengarah TXCD turut menyatakan bahawa, selain risiko operasi biasa, mereka tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa yang boleh timbul daripada projek-projek berkenaan.
Tiada kepentingan langsung atau tidak langsung oleh pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam LOA tersebut. - DagangNews.com








