Tunku Zain Al-‘Abidin dilantik sebagai Canselor baharu Universiti UCSI   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tunku Zain Al-‘Abidin dilantik sebagai Canselor baharu Universiti UCSI  

Pengerusi Majlis Universiti UCSI, Datuk Peter Ng (kanan) mengucapkan tahniah kepada Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz (kiri) atas perlantikan beliau sebagai Canselor kedua Universiti UCSI semasa majlis konvokesyen ke-38.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 Mei – Universiti USCI melantik Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz sebagai Canselor baharu, menjadikannya pelantikan kedua dalam sejarah 39 tahun institusi pendidikan berkenaan.

 

Tunku Zain sebelum ini menyertai UCSI sebagai Pro-Canselor pertama pada 2021 dan telah memainkan peranan penting dalam memperluas jejak global universiti serta pembangunan pelajar.

 

Pelantikan Canselor diumumkan semasa Istiadat Konvokesyen ke-38 universiti itu.

 

Beliau secara langsung terlibat dalam pembangunan kampus cawangan UCSI di Bangladesh dan memacu kerjasama penyelidikan antarabangsa menerusi pelbagai libat urus di luar negara.

 

Tunku Zain juga merupakan Penaung Hospital UCSI sejak awal 2024 dan berkhidmat sebagai Penasihat Kumpulan UCSI sejak 2023.

 

Pengerusi Majlis Universiti UCSI, Datuk Peter Ng berkata, menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Tunku Zain Al-‘Abidin.

 

"Saya yakin Tunku Zain Al-‘Abidin akan terus memberi inspirasi kepada pelajar, fakulti, dan alumni UCSI untuk mencapai kejayaan lebih tinggi. Inspirasi ini bukan sahaja dalam bidang akademik dan profesional, tetapi juga dalam peranan mereka sebagai pencetus perubahan dan warga global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Canselor dan Presiden UCSI, Prof Emeritus Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut hadir pada majlis itu.

 

Tunku Zain merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan aktif memperjuangkan reformasi dasar serta pembangunan inklusif.

 

Tunku Zain turut berkhidmat sebagai pemegang amanah di Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, IDEAS dan Genovasi Foundation serta memegang jawatan sebagai Pengerusi Omesti Berhad dan Pengarah Prima Gading Corporation.

 

Pelantikan itu dijangka mengukuhkan lagi komitmen UCSI terhadap kecemerlangan akademik, inovasi, dan impak sosial.- DagangNews.com