TSR Capital terima kontrak RM219 juta bagi kerja infrastruktur di Kwasa Damansara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSR Capital terima kontrak RM219 juta bagi kerja infrastruktur di Kwasa Damansara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - TSR Capital Berhad menerusi TSR Bina Sdn Bhd menerima kontrak RM219 juta daripada Kwasa Land Sdn Bhd bagi pembinaan dan penyiapan kerja-kerja infrastruktur biasa dan takungan air di kawasan perbandaran Kwasa Damansara di Petaling, Selangor.

 

Skop kerja di bawah kontrak itu termasuk pelaksanaan dan penyiapan kerja pembersihan dan perobohan tapak, kerja tanah, kerja jalan, kerja saliran, kerja retikulasi air, kerja pembetungan, dan takungan air.

 

"Kontrak ini adalah untuk tempoh 30 bulan dan dijangka siap pada Oktober 2027," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif TSR Capital, Lim Dian Ping berkata, pertambahan jentera sedia ada mendorong keupayaan pihaknya untuk melaksanakan kerja tanah dan projek infrastruktur berskala besar dengan kecekapan yang tinggi.

 

"Kontrak ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor kerja tanah dan infrastruktur tetapi juga mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan kami untuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur berkualiti tinggi," katanya.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir Jun 2025 hingga Jun 2028.- DagangNews.com