Trinidad Hospitality dan Petrosains jalin kerjasama strategik, tawar diskaun eksklusif 15% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trinidad Hospitality dan Petrosains jalin kerjasama strategik, tawar diskaun eksklusif 15%

NARESH Mohan (kiri) dan Ezarisma Azni Mohamad menunjukkan dokumen kerjasama strategik antara Trinidad Hospitality dengan Petrosains.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 JunTrinidad Hospitality Sdn Bhd dan Petrosains Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik selama dua tahun yang menawarkan pelbagai manfaat secara eksklusif sehingga 2028.

 

Menurut kenyataan, tawaran khas berkenaan disediakan kepada pelanggan dan kakitangan kedua-dua organisasi, termasuk diskaun sehingga 15% bagi sejumlah produk dan perkhidmatan yang terpilih.


Kerjasama berkuat kuasa dari 3 Jun 2026 hingga 2 Jun 2028 itu bertujuan memperkukuhkan pengalaman, meningkatkan penglibatan komuniti serta menyokong pembangunan sektor pelancongan dan hospitaliti.


"Pelanggan dan kakitangan Petrosains menikmati diskaun 15% bagi tawaran hospitaliti, penginapan, pengalaman kulinari dan perkhidmatan gaya hidup dikendalikan Trinidad Hospitality," katanya.


Sebagai balasan, pelanggan dan kakitangan Trinidad Hospitality layak menerima diskaun 15% bagi kemasukan ke Petrosains, pembelian cenderamata serta tawaran terpilih di outlet syarikat itu.


Selain manfaat eksklusif kepada pelanggan, kedua-dua organisasi juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif pemasaran bersama termasuk kempen promosi, pertandingan, serta kolaborasi media sosial.


Di samping itu jelasnya, ia turut melibatkan penghasilan kandungan bagi meningkatkan keterlihatan jenama masing-masing, sekali gus dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan komuniti.

 

Trinidad Petrosains


Ketua Pegawai Eksekutif Trinidad Hospitality Group, Datuk Seri Naresh Mohan berkata, kerjasama itu melangkaui promosi dan mencerminkan komitmen bersama memperkayakan pengalaman pelanggan.


"Kerjasama ini akan membawa nilai tambah kepada kedua-dua jenama sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna dan diingati oleh keluarga, pelancong serta pengunjung," katanya dalam kenyataan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad berkata, kerjasama ini selari dengan aspirasi syarikat memperluaskan impak pembelajaran sains di luar persekitaran tradisional.


Antaranya ujar beliau, melalui integrasi elemen pendidikan, gaya hidup dan hospitaliti, manakala inisiatif itu juga mampu memperkukuhkan kerjasama rentas industri, serta meningkatkan penglibatan awam.


Pada masa sama tambahnya, kerjasama berkenaan menyokong ekosistem pelancongan dan pembelajaran berasaskan pengalaman di negara ini, serta memperkukuhkan hubungan antara sektor hospitaliti.


"Kami yakin usaha bersama ini membantu dalam merangsang pelancongan domestik menerusi pengalaman yang lebih interaktif dan bernilai tambah kepada pengguna," katanya. - DagangNews.com