KUALA LUMPUR 2 Sept – Asia OneHealthcare Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan kesihatan yang disokong firma pelaburan TPG Inc, dilaporkan telah mengemukakan permohonan bagi melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia yang berpotensi mengumpulkan sehingga RM10 bilion.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, syarikat berkenaan telah menyerahkan draf pendaftaran kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada minggu lalu bagi tujuan penyenaraian tersebut, lapor The Edge.
Sekiranya IPO berkenaan berjaya dilaksanakan dengan nilai kutipan RM10 bilion, ia bakal menjadi antara penyenaraian terbesar dalam sejarah pasaran modal Malaysia.
Saiz IPO itu juga hampir menyamai penyenaraian FGV Holdings Bhd pada 2012 yang berjaya mengumpulkan RM10.4 bilion, sekali gus menjadi penanda aras bagi tawaran saham terbesar negara.
Bagaimanapun, sumber itu berkata perbincangan mengenai IPO tersebut masih berlangsung dan tiada jaminan bahawa Asia OneHealthcare akhirnya akan meneruskan rancangan penyenaraian berkenaan.
Pilihan Penyenaraian Atau Penjualan Masih Dipertimbang
Selain melaksanakan IPO, beberapa pengendali hospital dan firma ekuiti persendirian turut dilaporkan menunjukkan minat untuk membeli aset Asia OneHealthcare di Malaysia.
Keadaan itu menunjukkan TPG masih mempertimbangkan beberapa pilihan bagi pelaburannya dalam Asia OneHealthcare, termasuk menyenaraikan perniagaan berkenaan di Bursa Malaysia atau menjual asetnya kepada pihak yang berminat.
TPG dilaporkan telah mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk Asia OneHealthcare sejak beberapa bulan lalu, termasuk kemungkinan melaksanakan IPO atau penjualan syarikat.
Bloomberg sebelum ini melaporkan pada April bahawa Asia OneHealthcare bekerjasama dengan Malayan Banking Bhd dan UBS Group AG sebagai penasihat bagi mempertimbangkan pilihan strategik syarikat itu.
Asia OneHealthcare turut mempunyai operasi di beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Vietnam, selain mengendalikan perniagaan kemudahan perubatan di Malaysia.
Bekas Columbia Asia Healthcare
Asia OneHealthcare sebelum ini dikenali sebagai Columbia Asia Healthcare sebelum mengambil nama baharunya pada 2024.
TPG dan Hong Leong Group bersetuju mengambil alih syarikat berkenaan pada 2019, sebelum perniagaan itu melalui proses penggabungan dan penyusunan semula aset.
Syarikat itu menggunakan nama Asia OneHealthcare selepas menyatukan asetnya serta mengambil alih usaha sama antara Sime Darby Bhd dan pengendali hospital swasta Australia, Ramsay Health Care Ltd.
Selain TPG dan Hong Leong Group, antara pemegang kepentingan lain dalam Asia OneHealthcare ialah Abu Dhabi Investment Authority dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perkembangan itu berlaku ketika pasaran IPO Malaysia terus mencatatkan aktiviti yang memberangsangkan, dengan hasil daripada penjualan saham kali pertama tahun ini mencecah AS$1.5 bilion atau kira-kira RM6.07 bilion, lebih separuh daripadanya disumbangkan oleh penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Bhd. - DagangNews.com








