Top Glove kembali catat keuntungan bersih RM109.07 juta bagi FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove kembali catat keuntungan bersih RM109.07 juta bagi FY2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Okt - Permintaan yang semakin meningkat terhadap sarung tangan lateks telah melonjakkan prestasi kewangan Top Glove Corp Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 (FY25), dengan suku keempat menandakan pemulihan yang amat dinantikan selepas mencatat kerugian pada tahun sebelumnya.

 

Bagi suku keempat, pengeluar sarung tangan itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM38.56 juta, berbanding kerugian bersih RM6.64 juta pada suku yang sama tahun lalu. Pendapatan sesaham meningkat kepada 0.48 sen, berbanding kerugian sesaham 0.08 sen sebelum ini.

 

Hasil suku tahunan meningkat kepada RM889.62 juta berbanding RM833.74 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24). Menurut kumpulan itu, jumlah jualan meningkat 30% berbanding suku akhir FY24.

 

Secara keseluruhan, kumpulan mencatat keuntungan bersih RM109.07 juta bagi FY25, berbanding kerugian bersih RM64.88 juta pada tahun sebelumnya. Hasil tahunan turut meningkat kepada RM3.49 bilion daripada RM2.51 bilion pada FY24.

 

Dalam satu kenyataan, Top Glove berkata peningkatan jumlah jualan disokong oleh pengurusan kos yang lebih baik, sekali gus membolehkan harga jualan yang lebih kompetitif.

 

Langkah ini turut meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kepada kira-kira 75% pada Ogos 2025.

 

“Leveraj operasi yang terhasil telah mempertingkatkan kecekapan kos, manakala harga bahan mentah yang lebih baik membantu mengimbangi kesan kelemahan dolar AS.

 

“Peningkatan ini turut disokong oleh inisiatif berterusan untuk mengoptimumkan kualiti dan kecekapan kos, membolehkan kumpulan membentangkan keputusan yang lebih kukuh,” katanya dalam pengumuman keputusan kewangan tersebut.

 

Top Glove turut melaporkan, harga bahan mentah menurun suku ke suku, dengan harga purata natural latex concentrate menurun sebanyak 14%, manakala harga purata nitrile latex susut 10%.

 

“Kami berbesar hati dapat mencatatkan satu lagi suku yang menguntungkan, sekali gus menutup tahun kewangan 2025 dengan prestasi yang kukuh.

 

“Peningkatan ini dicapai melalui pelaksanaan strategik terhadap inisiatif kualiti dan kecekapan kos, disokong oleh komitmen warga kerja kami. Langkah ini menyediakan asas kukuh yang membolehkan Top Glove meraih manfaat daripada pemulihan permintaan sarung tangan serta memacu pertumbuhan jangka panjang,” kata Pengarah Urusan, Lim Cheong Guan.

 

Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Lim Wee Chai menambah, struktur kos kumpulan yang telah dipertingkat kini membolehkan syarikat bersaing dengan pemain asing dari negara ASEAN lain apabila medan persaingan menjadi lebih seimbang.

 

“Dengan sokongan inisiatif berterusan dalam aspek kualiti dan kecekapan kos, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk membina momentum FY2025, mengukuhkan semula pengaruhnya dalam industri dan menjana pertumbuhan mampan pada FY2026 dan seterusnya,” katanya.

 

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 0.48 sen sesaham, dengan tarikh ex-date pada 24 November 2025, dan tarikh pembayaran pada 15 Disember 2025- DagangNews.com