Top Glove catat untung bersih RM30.3 juta pada 2QFY25 dipacu peningkatan tempahan berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove catat untung bersih RM30.3 juta pada 2QFY25 dipacu peningkatan tempahan berterusan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Top Glove Corp Bhd mencatatkan untung bersih RM30.3 juta bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2025 (2QFY25) berbanding kerugian bersih RM51.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas dipacu peningkatan berterusan tempahan sarung tangan.

 

Katanya, hasil kumpulan juga melonjak 61% kepada RM883.6 juta daripada RM550.3 juta, didorong peningkatan berterusan dalam tempahan sarung tangan di tengah-tengah pemulihan permintaan global dan lencongan perdagangan berikutan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport sarung tangan China.

 

"Meskipun jumlah lebih rendah, kumpulan tetap mencatatkan margin keuntungan yang baik, disokong kesan pemindahan kos, serta keupayaan menetapkan harga lebih tinggi di rantau tertentu.
 

"Jumlah jualan bagi 2QFY25  menyusut berbanding suku sebelumnya, apabila kumpulan mengalami lonjakan pesanan sarung tangan pada 1QFY25, berikutan aktiviti pembelian awal yang sengit. 

 

"Walaupun begitu, jumlah jualan bagi 2QFY25 masih lebih tinggi berbanding 4QFY24, mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan selain, kadar penggunaan yang lebih baik hasil daripada peningkatan pesanan pada suku-suku sebelumnya telah meningkatkan pengoptimuman kos," katanya dalam satu kenyataan.

 

Penurunan harga bahan mentah berbanding 1QFY25, turut menyumbang kepada prestasi lebih baik pada 2QFY25, dengan harga purata lateks pekat getah asli menurun sebanyak 1% kepada RM6.80/kg, manakala harga lateks nitril turun sebanyak 8% kepada AS$0.86/kg. 

 

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, keadaan yang semakin baik dalam industri sarung tangan menawarkan peluang yang besar, dan syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkannya.

 

Beliau berkata, pihaknya sedar mungkin ada cabaran di hadapan dan akan terus meneruskan inisiatif kualiti dan kecekapan kos ke arah memastikan kumpulan kekal berdaya saing.

 

"Kami juga kekal komited terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan menyedari bahawa amalan perniagaan yang mampan adalah penting untuk kejayaan jangka panjang

 

"Keyakinan terhadap penambahbaikan berterusan, asas ESG yang kukuh, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pasukannya, syarikat boleh mengekalkan trajektori pertumbuhannya dan mencipta nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com