TNB, PETRONAS Gas tubuh SPV bangunkan terminal LNG terapung RGT-3 di Lumut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB, PETRONAS Gas tubuh SPV bangunkan terminal LNG terapung RGT-3 di Lumut

RGT-3 bakal dibangunkan di Bandar Perindustrian Maritim Lumut
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Jun – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Integrax Berhad menjalin kerjasama strategik dengan PETRONAS Gas Berhad (PGB) bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga (RGT-3) di Lumut, Perak.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Prinsip (HOA) yang menjadi asas kepada rundingan lanjut sebelum kedua-dua pihak memeterai Perjanjian Pemegang Saham (SHA).

 

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, kedua-dua pihak menyatakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan selepas SHA dimuktamadkan bagi membangunkan dan mengendalikan projek RGT-3 secara bersama.

 

RGT-3 akan dibangunkan menggunakan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU), iaitu kemudahan terapung yang berfungsi menyimpan gas asli cecair (LNG) serta menukarkannya semula kepada bentuk gas.

 

Gas yang telah diproses itu kemudiannya akan disalurkan menerusi paip penyambung dari kemudahan darat dan tempat berlabuh terminal berkenaan ke sistem Peninsular Gas Utilisation bagi memenuhi permintaan sektor tenaga negara.

 

Terminal itu direka dengan kapasiti penyimpanan LNG sebanyak 170,000 meter padu serta kapasiti penghantaran gas sehingga 500 juta kaki padu standard sehari (MMscfd).

 

TNB berkata, kapasiti RGT-3 akan digunakan secara berperingkat oleh anak syarikatnya, TNB Fuel Services Sdn. Bhd yang memberi jaminan permintaan terhadap kemudahan tersebut dalam jangka panjang.

 

Menurut syarikat utiliti tenaga itu, pembangunan RGT-3 dijangka mengukuhkan keselamatan bekalan bahan api negara selain meningkatkan daya saing kos dan menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor tenaga.

 

Dalam masa sama, projek itu turut membolehkan TNB memperluaskan penglibatan dalam rantaian nilai gas dan LNG, bukan hanya tertumpu kepada perniagaan penjanaan serta pembekalan elektrik semata-mata.

 

TNB turut menyifatkan pembangunan bersama RGT-3 sebagai aset infrastruktur strategik yang mampu menyokong pertumbuhan permintaan tenaga negara pada masa depan.

 

Integrax dipilih sebagai rakan usaha sama PGB susulan pengalamannya dalam operasi terminal menerusi anak syarikat milik penuhnya, Lekir Bulk Terminal Sdn Bhd yang mengendalikan terminal arang batu bagi Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di Manjung, Perak sejak lebih 25 tahun lalu.

 

Bagaimanapun, TNB mengakui projek berkenaan berdepan beberapa risiko biasa bagi pembangunan infrastruktur berskala besar termasuk kemungkinan kelewatan pembinaan, peningkatan kos projek akibat ketidaktentuan pasaran serta cabaran mendapatkan pembiayaan mengikut jadual ditetapkan.

 

Sehubungan itu, syarikat berkenaan berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pengurusan projek secara berhemah serta memperkukuh libat urus dengan pihak berkepentingan bagi mengurangkan risiko terbabit.

 

Menurut TNB, pembangunan RGT-3 dijangka dibiayai menerusi gabungan pembiayaan hutang dan ekuiti, namun tidak akan memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Pada masa sama, syarikat itu berkata, perjanjian berkenaan juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham TNB kerana ia tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan serta pegangan pemegang saham utama syarikat. - DagangNews.com