KUALA LUMPUR 2 Sept - Tenaga Nasional Bhd (TNB) berpotensi meningkatkan unjuran keuntungan bersih dan harga sasarannya sebanyak 8% sekiranya berjaya merealisasikan projek penjanaan tenaga solar berkapasiti 1.5GW untuk DayOne Data Centre (DayOne) di Selangor.
RHB Research berkata, potensi projek tersebut, yang turut melibatkan penyelesaian sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), boleh menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan pendapatan TNB dalam jangka sederhana.
"Dengan andaian TNB membangunkan projek solar 1.5GW dengan kapasiti BESS sebanyak 50% serta memegang 70% kepentingan, kami menganggarkan projek berkenaan mampu menyumbang sekitar RM448 juta kepada keuntungan bersih FY28F, bersamaan kira-kira 8% daripada unjuran keuntungan bersih tahun tersebut," kata firma itu dalam nota penyellidikan hari ini
.
Projek itu diunjurkan menjana kadar pulangan dalaman (IRR) sekitar **10%** di bawah perjanjian bekalan tenaga selama 21 tahun.
TNB dan DayOne baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka kemungkinan TNB membekalkan sehingga 1.5GW penjanaan tenaga di tapak kepada pusat data berkenaan di Selangor.
Menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menentukan kapasiti akhir, konfigurasi dan pelaksanaan penjanaan tenaga di tapak, termasuk rumusan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Tenaga boleh diperbaharui
Menurut RHB Research, TNB juga berkemungkinan meneroka pembekalan tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada DayOne menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).
Ini susulan TNB sebelum ini memeterai perjanjian CRESS selama 21 tahun untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada DayOne daripada projek Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) berkapasiti 595MWac di Kenyir.
Projek Kenyir itu dianggarkan menyumbang kira-kira 3% kepada keuntungan bersih TNB FY28F.
"Keputusan kerajaan supaya pusat data menggunakan sekurang-kurangnya 30% tenaga boleh diperbaharui dalam campuran bekalan tenaga mereka turut memberikan sokongan kepada permintaan terhadap penyelesaian tenaga hijau TNB.
Lebih banyak ESA boleh pacu capex TNB
RHB Research berkata, kerjasama dengan DayOne juga dijangka memberi kesan positif terhadap perbelanjaan modal (capex) TNB, memandangkan pusat data baharu diwajibkan menandatangani perjanjian bekalan tenaga (ESA) dengan TNB bagi mendapatkan bekalan elektrik daripada grid.
Setakat ini, TNB telah memeterai ESA berjumlah **8.4GW** dan menyasarkan tambahan **5GW** dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kerjasama dengan DayOne seharusnya menghasilkan lebih banyak ESA dalam saluran paip, sekali gus memberikan kesan positif terhadap penggunaan capex TNB,” kata RHB Research.
Pihak pengurusan TNB juga masih berharap untuk mencapai dua pertiga daripada kelulusan capex di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4)**.
"Sekiranya sasaran itu dicapai, kami menganggarkan unjuran EPS FY26F dan harga sasaran TNB boleh meningkat sekitar 7%.
"Oleh itu kami mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap TNB dengan harga sasaran RM16.50, yang memberikan potensi kenaikan sekitar 20%, selain hasil dividen FY26F kira-kira 4%," katanya. - DagangNews.com








