Titijaya bangunkan semula projek terbengkalai Blok B1 & B2 Kolej Kediaman Pelajar UMS bernilai RM105 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Titijaya bangunkan semula projek terbengkalai Blok B1 & B2 Kolej Kediaman Pelajar UMS bernilai RM105 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 24 Nov – Syarikat pemaju Titijaya Land Berhad telah mengambil langkah signifikan untuk menghidupkan semula projek terbengkalai Kolej Kediaman pelajar (Blok B1 dan B2) Universiti Malaysia Sabah di Numbak, Kota Kinabalu.

 

Titijaya mengambil alih dua aset hartanah tersebut pada Mei 2025 dengan nilai RM105 juta, bagi memulihkan pembangunan yang terbengkalai ini.

 

Inisiatif ini menandakan projek ketiga pembangunan sakit atau terbengkalai yang berjaya dipulihkan oleh kumpulan tersebut di Sabah.

 

Menurut Titijaya, pemulihan projek ini penting bagi menyediakan kemudahan asrama berkualiti kepada pelajar UMS yang mempunyai lebih 18,000 pelajar.

 

Pengarah Urusan Titijaya Land Bhd, Datuk Lim Poh Yit berkata, syarikat melihat projek pemulihan itu sebagai satu kerjasama awam–swasta yang memupuk sinergi antara peneraju industri, Kerajaan dan institusi pendidikan demi kepentingan sosial yang lebih besar.

 

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, kumpulan komited untuk menyiapkan kerja-kerja berbaki dan berbangga dipilih untuk menghidupkan semula projek ini.

 

"Menerusi inisiatif ini, kami berhasrat menangani kekurangan kediaman pelajar yang dihadapi UMS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan menyediakan kemudahan yang selamat, selesa dan mudah diakses bagi membantu pelajar mencapai potensi terbaik mereka," tambahnya.

 

Pada Sabtu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melawat tapak projek Blok B1 dan B2 sempena lawatan kerja rasmi, mengukuhkan kerjasama awam-swasta dalam meningkatkan penyediaan kediaman pelajar. - DagangNews.com