Tipu RM1.45 juta: Peniaga niaga hadapan tanpa lesen dipenjara 20 tahun, didenda RM9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tipu RM1.45 juta: Peniaga niaga hadapan tanpa lesen dipenjara 20 tahun, didenda RM9 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan denda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menipu sembilan pelabur menerusi skim pelaburan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) palsu.

 

Tertuduh, Mohd Azhidi Laili yang menyamar sebagai peniaga niaga hadapan melakukan kesalahan itu antara Mei 2013 hingga Mac 2014 di Kuala Lumpur.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril, menjatuhkan hukuman tersebut selepas Azhidi mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

Berdasarkan fakta kes, Azhidi telah memperdaya sembilan mangsa melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1.45 juta melalui skim pelaburan FCPO di bawah nama AmFutures Sdn Bhd, yang sebenarnya tidak wujud.

 

Bagi setiap pertuduhan, beliau dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, dengan hukuman penjara berjalan serentak.

 

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Azhidi akan berdepan tambahan hukuman penjara 27 bulan selepas tamat tempoh hukuman penjara utama.

 

Azhidi juga mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 59(1) CMSA kerana mendakwa dirinya sebagai wakil AmFutures Sdn Bhd tanpa lesen atau pendaftaran untuk berurusan dalam derivatif — suatu aktiviti yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah Jadual 2 CMSA. 

 

Bagi kesalahan ini, beliau dihukum penjara dua tahun, yang berjalan serentak dengan hukuman di bawah Seksyen 206(b).

 

Azhidi pada awalnya didakwa oleh SC pada 14 Februari 2022, dua hari selepas ditangkap. 

 

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibebaskan dengan jaminan RM250,000 bersama dua penjamin, selain diarahkan menyerahkan pasport dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

 

Perbicaraan kes bermula pada Februari 2023 dan berlangsung sehingga Mac 2025, sebelum tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah. 

 

Sepanjang perbicaraan, seramai 28 saksi pendakwaan, termasuk tujuh mangsa, telah memberi keterangan di mahkamah.

 

Bagaimanapun, pada 21 Mei 2024, mahkamah membatalkan jaminan Azhidi selepas beliau gagal hadir bagi dua sebutan kes dan tidak membuat laporan bulanan kepada Pegawai Penyiasat SC. 

 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh pembatalan jaminan tersebut.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Mohd Izuddin Mohamad, bersama pegawai pendakwa Quek Yiing Huey, Raihana Nadhira Rafidi, Eunice Ong Jo Xing dan Mark Rohan Mahadevan. Azhidi diwakili peguam Al-Sabri Haji Ahmad Kabri.

 

SC dalam kenyataan berkata, keputusan mahkamah itu mencerminkan betapa seriusnya kesalahan ini dan kesannya terhadap pasaran modal. 

 

SC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengesahkan kesahihan sebarang tawaran pelaburan melalui Investment Checker di laman sesawang rasmi www.sc.com.my/investment-checker.  - DagangNews.com