KUALA LUMPUR 16 Okt - Time Dotcom Berhad diyakini mengekalkan statusnya sebagai penyedia jalur lebar premium di Malaysia dengan fokus kepada strategi berasaskan kualiti perkhidmatan yang konsisten dengan standard tinggi.
Kenanga Research berkata, langkah itu adalah bagi membezakannya daripada pesaing lain dalam pasaran telekomunikasi yang semakin kompetitif.
Katanya, pendekatan strategik kumpulan itu berjaya meningkatkan purata hasil setiap pengguna (ARPU) dan mengekalkan pertumbuhan pelanggan bernilai tinggi, meskipun dalam suasana pasaran di mana penyedia lain berlumba-lumba menawarkan pelan harga rendah bagi menarik pengguna baharu.
“Time kekal teguh dengan strategi premium, fokus kepada pelanggan yang menghargai kualiti dan kelajuan sambungan, bukan sekadar harga murah," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, berbeza dengan pesaing seperti CelcomDigi Berhad, Maxis Berhad dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang semakin meluaskan tawaran kepada segmen mampu milik, Time mengekalkan pendiriannya dalam pasaran premium.
Katanya, CelcomDigi memperkenalkan pelan Fixed Wireless Access (FWA) termasuk pelan 5G Home WiFi serendah RM69 sebulan, manakala Maxis dan TM pula menawarkan pelan 100Mbps bermula RM89 sebulan tetapi TIME mengekalkan pelan permulaan 200Mbps pada harga RM99 sebulan, menandakan keyakinan kumpulan dalam menarik pelanggan berprofil tinggi.
Pendekatan ini terbukti berkesan apabila ARPU kumpulan meningkat kepada RM117 pada suku kedua tahun 2025 (2QCY25), melebihi pengendali rangkaian mudah alih (MNO) lain dan hampir menyamai TM yang mencatat RM125.
“Fokus Time bukan pada menjadi paling murah, tetapi menjadi yang paling dipercayai dalam aspek kelajuan, kestabilan dan pengalaman pelanggan," katanya.
Kenanga Research berkata, kekuatan utama Time terletak pada kualiti rangkaian yang konsisten dan sokongan pelanggan, dua aspek yang semakin menjadi faktor penentu bagi pelanggan korporat dan pengguna berprofil tinggi.
Pendekatan itu katanya, selaras dengan strategi syarikat untuk mendahulukan pengalaman pelanggan berbanding perang harga, sekali gus membolehkan Time mengekalkan margin yang sihat dalam jangka panjang.
Selain itu, peluasan jaringan ke kawasan baharu seperti Seremban, Semenyih, Nilai dan Rawang akan memperkukuh lagi kedudukan Time dalam pasaran kediaman berpotensi tinggi, terutama di kalangan komuniti berpendapatan sederhana-tinggi dan pengguna SDU (single-dwelling unit).
"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran RM5.91 sesaham," katanya. - DagangNews.com








