KUALA LUMPUR 17 Jun - Theta Edge Bhd menerusi Theta Healthcare Sdn Bhd menerima kontrak RM4.37 juta daripada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi penyediaan peralatan X-ray mudah alih dengan sambungan berasaskan awan dan Kecerdasan Buatan (AI) terbina dalam untuk diagnostik serta perkhidmatan berkaitan.
Kumpulan itu berkata, menerusi perjanjian itu, Theta Healthcare akan membekal dan menyelenggara sehingga tujuh unit mesin X-ray mudah alih berteknologi tinggi yang dilengkapi dengan sambungan awan dan ciri Al.
Mesin itu akan digunakan melalui model sewaan berasaskan penggunaan, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam penyediaan perkhidmatan pengimejan perubatan berasaskan komuniti di Malaysia.
"Kontrak ini akan berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun bermula dari 20 Jun 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
lnisiatif itu memanfaatkan teknologi Al dan keupayaan diagnostik mudah alih terkini untuk menyokong pengesanan awal penyakit berkaitan paru-paru dan dada, khususnya dalam kalangan populasi berisiko tinggi, selaras dengan usaha negara memperkasakan penjagaan kesihatan pencegahan.
Kerjasama ini mencerminkan penjenamaan semula Theta Healthcare daripada fokus terdahulu dalam Sistem Maklumat Hospital (HIS) kepada mandat baharu yang bertumpu pada teknologi perubatan disruptif.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, perkhidmatan X-ray dada mudah alih berkuasa Al itu akan melengkapi trak klinik bergerak sedia ada milik NCSM yang kini digunakan dalam inisiatif 'Jejak Kanser' dan 'Satu Daerah Satu Program (ODOP)', sekali gus memperluas jangkauan serta keupayaan mereka di kawasan terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan.
"Kami berbangga dapat menyokong NCSM dalam memperluas usaha pengesanan awal melalui teknologi diagnostik mudah alih yang canggih.
"Kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada perkhidmatan saringan, terutamanya di kawasan kurang liputan, malah mencerminkan komitmen kami terhadap penyelesaian penjagaan kesihatan inklusif berasaskan teknologi yang menyokong aspirasi kesihatan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Selain mesin X-ray mudah alih, Theta Healthcare turut akan menyediakan sistem maklumat pesakit berasaskan awan dan platform digital kesedaran kesihatan untuk menyokong usaha pendidikan serta jangkauan berkaitan kanser di seluruh negara.
Komponen ini selaras dengan matlamat Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan pengesanan awal dan memperbaiki hasil kesihatan rakyat Malaysia.
Setiap mesin dijangka melakukan sekurang-kurangnya 5,000 imbasan setiap tahun, dengan keputusan diproses menggunakan diagnostik Al terbina dalam bagi menyokong pakar klinikal mengenal pasti potensi ketaknormalan.
Sementara itu, Kol. Bersekutu (PA) Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy, Pengarah Urusan NCSM, berkata, pengesanan awal kekal sebagai antara kaedah paling berkesan dalam memerangi kanser dan penyakit kronik lain.
"Menerusi kerjasama ini bersama Theta Healthcare, kami memperkukuh keupayaan untuk menyediakan saringan menyelamatkan nyawa kepada komuniti yang lazimnya kekurangan akses dan memperluas kapasiti saringan mudah alih kami dengan teknologi bertaraf dunia. lni merupakan langkah besar ke hadapan dalam menjadikan rawatan pencegahan lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com








