KUALA LUMPUR 1 Julai – Khind Direct Sdn Bhd bekerjasama dengan Heydoc Health Sdn Bhd bagi memperkenalkan satu inisiatif perintis kesihatan digital yang menyasarkan kumpulan ejen sewa beli (rent to own - RTO) terpilih dalam usahanya memperkukuh sokongan kebajikan dan pembangunan rangkaian agensi syarikat.
Inisiatif ini diwujudkan selaras dengan usaha Khind dalam memperkukuh ekosistem RTO yang menjadi antara saluran penting bagi membolehkan isi rumah di Malaysia memiliki peralatan elektrik berkualiti melalui pelan bayaran ansuran bulanan yang mampu milik.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan melancarkan program sokongan kesihatan digital yang disokong oleh platform FutureK milik Heydoc Health, khusus untuk kumpulan ejen dan pemimpin agensi yang terlibat dalam operasi RTO Khind.
Platform FutureK tersebut menggabungkan beberapa perkhidmatan kesihatan dalam satu sistem digital termasuk konsultasi doktor secara atas talian, penghantaran ubat, panduan rawatan kesihatan serta pengurusan penjagaan kesihatan berasaskan data.
Selain itu, program ini turut membolehkan pengguna mendapatkan akses rawatan pesakit luar dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada lawatan fizikal ke klinik, sekali gus menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan kerja harian.
Khind berkata pendekatan ini juga memberi nilai tambah kepada sistem RTO syarikat apabila ia turut disertakan dengan perlindungan insurans dalam pakej sedia ada menjadikannya antara penyelesaian RTO yang lebih menyeluruh.
Menurut syarikat itu, ejen RTO memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Malaysia mendapatkan akses kepada peralatan rumah secara fleksibel, justeru kebajikan mereka perlu diberi perhatian seiring dengan pertumbuhan rangkaian agensi.
“Melalui kerjasama dengan Heydoc Health ini, kami mahu meneroka cara praktikal untuk menyokong kesejahteraan ejen dan pemimpin agensi kami melalui model sokongan kesihatan yang lebih tersusun dan mudah diakses,” kata pengurusan Khind Direct.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Heydoc Health, Dr Raymond Choy berkata FutureK direka untuk menjadikan penjagaan kesihatan pesakit luar lebih pintar dan mudah diakses melalui integrasi teknologi digital.
Beliau berkata platform itu menggabungkan pelbagai fungsi dalam satu sistem bagi membolehkan organisasi menyokong komuniti mereka dengan lebih awal, efisien dan berskala besar, khususnya dalam persekitaran tenaga kerja moden yang semakin fleksibel.
Program perintis ini dijadualkan bermula pada 1 Julai 2026, selepas sesi pelancaran yang memperkenalkan platform FutureK kepada ejen serta pemimpin agensi yang terlibat.
Khind dan Heydoc akan terus melaksanakan usaha kesedaran serta penglibatan dalaman melalui komunikasi digital dan sesi latihan bagi memastikan penggunaan platform ini dapat dioptimumkan dalam kalangan peserta program.
Secara keseluruhan, kerjasama ini mencerminkan usaha Khind dalam memperkukuh ekosistem RTO bukan sahaja dari sudut perniagaan, tetapi juga dari aspek kesejahteraan tenaga kerja, selaras dengan trend transformasi digital dalam pengurusan sumber manusia moden. - DagangNews.com








