Theta Edge, Agmo bangunkan teknologi AI dan rantaian blok untuk sektor awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Theta Edge, Agmo bangunkan teknologi AI dan rantaian blok untuk sektor awam

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Jun – Theta Edge Bhd dan Agmo Holdings Bhd menubuhkan sebuah syarikat usaha sama untuk mempercepat penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan perkhidmatan digital, khususnya dalam sektor awam.

 

Syarikat usaha sama itu akan ditubuhkan melalui anak syarikat Theta Edge, Theta Technologies Sdn Bhd dan Agmo Capital Sdn Bhd. 

 

Theta Edge akan memegang 51% saham, manakala Agmo memiliki 49% pegangan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, usaha sama tersebut akan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu sistem penjejakan halal yang lebih pintar, rumusan kesihatan digital menggunakan AI dan papan pemuka analitik serta infrastruktur.

 

"Kedua-dua pihak akan bertanggungjawab melaksanakan teknologi AI milik Theta Edge yang dikenali sebagai ThetaNeuron. 

 

"Teknologi ini akan digunakan dalam bidang kesihatan digital, jejak halal dan analitik pintar," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Beliau berkata, usaha sama tersebut juga akan menggunakan teknologi sedia ada milik Agmo seperti chatbot AI, sistem e-invois, model bahasa tempatan, platform kesihatan atas talian dan alat pengesahan berasaskan blockchain.

 

"Kerjasama ini adalah permulaan baharu bagi syarikat untuk menjana pendapatan melalui platform dan inovasi AI dalam pelbagai industri," tambah Nuraslina. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong pula berkata, kerjasama berkenaan membolehkan Agmo menggunakan teknologi mereka dalam sektor yang dikawal selia. 

 

"Kerjasama ini akan menyediakan sistem digital yang cekap dan selamat dalam bidang kewangan, kesihatan, perdagangan halal, logistik dan sektor awam," ujarnya. - DagangNews.com