KUALA LUMPUR 24 Jan - TH Properties Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Affin Bank Bhd, memperkenalkan rumusan pembiayaan yang bertujuan merapatkan jurang pemilikan rumah, khususnya bagi graduan muda, pembeli rumah kali pertama, serta pelabur hartanah.
Perkongsian strategik itu menawarkan produk pembiayaan Affin Home Step Fast/-i, yang direka khas untuk graduan muda, pembeli rumah kali pertama, pembeli muda dan pelabur hartanah.
Selain itu, program Pembiayaan Rumah Affinita turut diperkenalkan untuk golongan wanita, dengan pembiayaan melebihi RM500,000 melalui Perbankan Perdana Affin Invikta, serta faedah eksklusif daripada hampir 100 peniaga.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties, Mohd Ismadi Ishak berkata, kerjasama berkenaan melibatkan beberapa projek hartanah utama yang dibangunkan oleh TH Properties, termasuk Kota Semarak di Kuala Lumpur serta dua lagi projek di Negeri Sembilan, iaitu Bandar Enstek dan Warisan Puteri 2.

"Produk kami merangkumi pelbagai jenis hartanah, dari keluarga hingga kepada generasi muda. Dari segi fleksibiliti dan pembiayaan, ia sesuai dengan tahap kemampuan atau pasaran yang disasarkan.
"Oleh itu, kerjasama ini sangat sesuai dengan sasaran pasaran kami," katanya dalam satu kenyataan.
MoU tersebut ditandatangani oleh Mohd Ismadi dan Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Affin Bank, Mohammad Fairuz Mohd Radi, baru-baru ini.
Sementara itu, Mohammad Fairuz berkata, Affin Bank yakin rumusan pembiayaan inovatif seperti Affin Home Step Fast/-i dan Program Pembiayaan Perumahan Affinita akan memberikan pilihan pembiayaan yang fleksibel dan disesuaikan, khususnya untuk golongan profesional muda, pelabur hartanah, serta pembeli rumah yang lebih luas.
"Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan TH Properties untuk memberdayakan lebih ramai rakyat Malaysia dalam perjalanan mereka memiliki rumah," ujarnya. - DagangNews.com








