KUALA LUMPUR 20 Feb - Penyedia rumusan pengurusan sisa dan kitar semula Tex Cycle Technology (M) Berhad menerusi anak syarikatnya, TC Chemical Sdn Bhd, menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) untuk memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 60% dalam Safety & Environmental Laboratory Sdn. Bhd. (SEL) dengan jumlah pertimbangan pembelian sebanyak RM8.4 juta.
Pemerolehan itu mengukuhkan komitmen Tex Cycle untuk memperluaskan perkhidmatannya dalam pematuhan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan (EHS) sambil memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pengurusan sisa lestari.
Ia turut disertakan dengan jaminan keuntungan sebanyak RM2.0 juta PAT untuk tahun kewangan berakhir 2024 dan 2025 serta nilai aset ketara bersih tidak kurang daripada RM4.4 juta.
SEL, dengan perkhidmatan makmal yang diiktiraf dan kepakaran dalam pematuhan alam sekitar, akan meningkatkan keupayaan Tex Cycle untuk menyediakan rumusan kelestarian secara menyeluruh.
Dengan menyepadukan keupayaan SEL, Tex Cycle menguatkan kedudukannya di pasaran sambil menegaskan komitmennya terhadap tanggungjawab alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass Anthony Francis berkata, pemerolehan SEL adalah satu langkah strategik dalam perjalanan Tex Cycle ke arah peneraju kelestarian alam sekitar.
Katanya, kepakaran mendalam SEL dalam pematuhan EHS dan perkhidmatan makmal yang diakreditasi, sejajar dengan visi syarikat untuk memberikan rumusan terkini kepada pelanggan.
"Kerjasama ini memperluas keupayaan kami, membuka kerjasama yang besar dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju industri.
"Ketika kami menyepadukan kekuatan SEL ke dalam operasi kami, kami menegaskan komitmen kami untuk mendorong inovasi, menetapkan piawaian baharu dalam pengurusan alam sekitar dan mencipta nilai yang berpanjangan untuk para pemegang saham kami," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan SEL, P. Kaliswaran pula berkata, kerjasama dengan Tex Cycle menandakan satu pencapaian penting untuk SEL.
"Kerjasama ini membuka peluang yang tiada tandingan untuk memperluas jangkauan kami, mempelbagaikan pelanggan dan mengembangkan operasi kami ke dimensi baharu.
"Bersama dengan kepakaran industri Tex Cycle dan kehadiran pasaran yang luas, kami komited untuk mengubah SEL menjadi kuasa utama dalam ujian alam sekitar dan pematuhan, menyediakan perkhidmatan luar biasa sambil memperjuangkan masa depan yang lebih bersih dan hijau," ujarnya.
Pemerolehan berkenaan membolehkan Tex Cycle menawarkan perkhidmatan menyeluruh dalam bidang alam sekitar, kesihatan dan keselamatan melalui pasukan pakar SEL dan perkhidmatan makmal.
Ia termasuk peluang jualan silang antara perkhidmatan pengurusan sisa Tex Cycle yang sedia ada dan perkhidmatan pematuhan alam sekitar dan analisis makmal yang diakreditasi oleh SEL.
Kumpulan kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk ujian dan analisis alam sekitar yang boleh dipercayai, terutamanya ketika industri berdepan dengan keperluan peraturan yang lebih ketat.
Selain daripada pertumbuhan perniagaan, pemerolehan itu mengukuhkan komitmen Tex Cycle terhadap penjagaan alam sekitar.
Penggabungan keupayaan SEL ke dalam portfolio kumpulan secara langsung menyokong industri dalam usaha kelestarian mereka, membolehkan perniagaan mencapai piawaian pematuhan yang lebih tinggi sambil meminimumkan kesan alam sekitar mereka. - DagangNews.com








