Tex Cycle lengkapkan pembelian Meridian World pada harga RM42.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tex Cycle lengkapkan pembelian Meridian World pada harga RM42.8 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Tex Cycle Technology (M) Bhd telah melengkapkan pengambilalihan Meridian World Sdn Bhd dengan nilai RM42.8 juta dibayar kepada vendor, manakala RM6.7 juta pula disalurkan kepada peguam syarikat sebagai 'retention sum'.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian pengurusan sisa dan kitar semula itu berkata, dengan penyertaan Meridian World ke dalam kumpulan, Tex Cycle berada pada kedudukan strategik untuk memperluaskan operasinya serta meningkatkan sinergi rentas segmen melibatkan pemulihan sisa terjadual, ujian alam sekitar, kitar semula kimia dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass Anthony Francis berkata, penyempurnaan urus niaga ini bukan sekadar transaksi kewangan semata-mata, sebaliknya merupakan gabungan dua pemain industri mapan dalam sektor perkhidmatan alam sekitar Malaysia.

 

“Meridian World mempunyai rekod prestasi kukuh selama lebih 30 tahun dalam sektor pengurusan sisa terjadual, serta penguasaan dalam aliran sisa khusus termasuk bahan kimia dan kod sisa khusus seperti e-sisa (e-waste).

 

"Ini memberi kami platform yang lebih luas untuk menyediakan penyelesaian sisa yang menyeluruh dan mampan merentasi pelbagai industri,” katanya.

 

Tambah beliau, gabungan ini meletakkan kumpulan pada landasan lebih berdaya tahan, pelbagai dan inovatif sejajar dengan aspirasi pertumbuhan jangka panjang Tex Cycle.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Meridian World, Teoh Kok Cheow berkata, kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak memperluaskan keupayaan, meneroka pasaran baharu dan secara kolektif memacu impak yang lebih besar dalam landskap pengurusan sisa dan ekonomi kitar semula Malaysia. - DagangNews.com