KUALA LUMPUR 2 Sept — AME Elite Consortium Berhad berdepan permulaan tahun kewangan 2027 lebih mencabar dengan tempahan kontrak pembinaan susut pada suku pertama, menurut analisis Phillip Capital.
Jualan hartanah baharu turut perlahan namun firma penyelidikan tersebut melihat keadaan berkenaan sebagai kelembapan sementara dan mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan itu.
Ia masih menetapkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.01, disokong potensi jangka panjang segmen hartanah perindustrian serta aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).
"AME merekodkan jualan hartanah baharu RM62 juta bagi 1QFY27 berbanding RM85 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi masih ada peluang RM35 juta tempahan dalam senarai," ujar Phillip Capital.
Jualan yang belum dibilkan susut 29% kepada RM395 juta, namun keadaan itu dijangka berubah apabila penjualan 11 lot tanah industri di i-Tech Valley bernilai RM210 juta dapat diiktiraf pada suku berikutnya.
Pihak pengurusan kekal yakin mencapai sasaran jualan hartanah RM400 juta bagi FY27, dan setakat ini, sebanyak RM117 juta tempahan diperoleh daripada usaha sama (JV) projek Northern TechValley.
Phillip Capital turut melihat perkembangan rundingan penggantian tanah di Johor yang berada pada tahap lanjut sebagai antara pemangkin penting AME serta menyokong momentum jualan selepas projek.

"Bagaimanapun segmen pembinaan dan kejuruteraan berdepan kelembapan apabila buku tempahan turun 13% kepada RM486 juta, terdiri RM442 juta untuk pembinaan dan RM43 juta bagi kejuruteraan," katanya.
Nilai kontrak baharu diperoleh dalam 1QFY27 juga sederhana pada RM36 juta, berikutan ada kontrak berskala besar masih dalam proses pemuktamadan, namun isu itu bukan bersifat perubahan struktur.
AME memiliki peluang tender bernilai RM800 juta, yang memberikan ruang cukup untuk pengisian semula khususnya projek gudang, kilang serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa.
Kumpulan dilihat kekal berdisiplin dalam pemilihan projek, termasuk pendekatan lebih selektif terhadap projek semikonduktor dan pusat data (DC) yang memerlukan kapasiti pelaksanaan lebih besar.
"Strategi ini dijangka dapat membantu kumpulan tersebut untuk mengekalkan disiplin margin ketika persaingan dalam sektor pembinaan di negara ini dilihat semakin sengit," jelas Phillip Capital.
Justeru mengekalkan TP berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOP), dengan daya tarikan utama AME terletak pada fokus khususnya hartanah perindustrian yang memberi pendedahan pertumbuhan FDI.
Namun, ia mengingatkan antara risiko utama yang perlu diperhatikan pelabur ialah kenaikan harga bahan binaan serta persaingan sengit dalam sektor hartanah perindustrian. - DagangNews.com








