KUALA LUMPUR 2 Dis – Teleport, anak syarikat Capital A Bhd, kembali mencatat keuntungan pada suku ketiga 2025 (3Q25) dengan keuntungan bersih RM8.3 juta, sekali gus menamatkan kerugian RM13.3 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat memaklumkan prestasi memberangsangkan itu disokong lonjakan 109% tahun ke tahun (YoY) dalam jumlah bungkusan yang dikendalikan kepada 44.8 juta, sekali gus menjadi pencapaian volum tertinggi dalam sejarah operasinya.
Pada masa sama, segmen kargo udara turut mencatat pertumbuhan kukuh apabila jumlah tan dipindahkan meningkat 16% YoY kepada 90,357 tan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Teleport dalam rangkaian logistik Asia Tenggara.
Dari sudut keuntungan operasi, EBITDA meningkat kepada RM32 juta, naik 45% YoY dan 28% suku ke suku (QoQ), manakala margin EBITDA melebar 2.4 mata peratusan kepada 10%, disokong disiplin kos yang lebih ketat serta peningkatan kecekapan kapasiti.
Teleport turut melaksanakan penstrukturan kewangan menerusi pembiayaan semula bernilai AS$51 juta, yang berjaya mengurangkan kos pembiayaan sebanyak 7% YoY, sekali gus melepaskan modal untuk mendapatkan kapasiti penerbangan jarak jauh ketika Kumpulan meneruskan pelan pengumpulan modal.
Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata prestasi suku ini membuktikan keupayaan syarikat untuk berkembang dengan mampan.
“Suku ini membuktikan syarikat mampu meningkatkan volum dan masih mencatat keuntungan. Fokus seterusnya adalah memperluas kapasiti serta merebut permintaan yang dipacu China melalui rangkaian lebih 50 rakan syarikat penerbangan kami,” katanya.
Teleport menjangkakan penutupan pengumpulan ekuiti 4Q25 akan memacu peluasan skala penghantaran global serta memperdalam lagi liputan rangkaiannya merentasi luar Asia Pasifik. - DagangNews.com








