KUALA LUMPUR 16 Okt - Teleport kekal di landasan untuk mencapai sasaran penghantaran 2 juta bungkusan sehari menjelang akhir tahun 2025, didorong pertumbuhan kukuh segmen e-dagang dan peluasan rangkaian ke pasaran antarabangsa.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pada 2QFY25, Teleport mencatatkan keuntungan bersih teras RM3.2 juta, meningkat ketara berbanding RM400,000 pada 1QFY25, prestasi ini dicapai meskipun sentimen berhati-hati dalam pasaran global akibat ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS).
Katanya, peningkatan hasil disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada perniagaan e-dagang, penurunan kos kakitangan, struktur kos yang lebih efisyen hasil sinergi dengan syarikat penerbangan rakan kongsi, serta kos kewangan yang lebih rendah.
"Kumpulan itu berada di laluan tepat untuk mencapai sasaran 2 juta bungkusan sehari menjelang akhir 2025. Keupayaan operasi mereka telah berkembang 2.8 kali ganda hasil kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan rakan kongsi di seluruh rantau.
"Setakat ini, Teleport telah mencapai jumlah penghantaran harian tertinggi sebanyak 509,000 bungkusan, dan bakal memperkukuh kapasiti bagi menampung pertumbuhan yang dijangka meningkat menjelang separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), dengan prestasi dijangka memuncak pada 4QFY25," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, selain itu, Teleport turut mengukuhkan kedudukan kewangannya selepas menyusun semula hutang berjumlah AS$35 juta dengan kadar faedah lebih rendah dan terma bayaran balik lebih baik.
Katanya, langkah itu dijangka memberi ruang kepada syarikat mengekalkan pertumbuhan mampan dalam tempoh sederhana.
Teleport kini mengembangkan operasi ke Oceania, Asia Barat, Eropah dan Afrika melalui rangkaian kerjasama dengan syarikat penerbangan pihak ketiga, sejajar dengan matlamatnya menjadi penyedia logistik serantau bertaraf global.
HLIB kekal optimis terhadap prospek Teleport, dengan jangkaan sumbangan pendapatan sekitar RM50 juta hingga RM60 juta setiap suku apabila sasaran 2 juta bungkusan sehari tercapai.- DagangNews.com








