Teknologi nuklear bukan ancaman, tapi beri impak positif kepada negara — Dr Muhammad Rawi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teknologi nuklear bukan ancaman, tapi beri impak positif kepada negara — Dr Muhammad Rawi

BANGI 9 Okt - Teknologi nuklear di Malaysia perlu berkembang bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga melalui kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap manfaatnya, agar ia mampu memberi impak positif kepada pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar negara.

 

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata tumpuan agensi itu adalah untuk memastikan teknologi nuklear terus maju dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.

 

“Kami berharap masyarakat dapat merasai kehadiran teknologi ini walaupun tanpa menyedarinya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Beliau menjelaskan, berbeza dengan teknologi lain seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) atau kenderaan elektrik (EV) yang cepat diterima masyarakat, teknologi nuklear masih berdepan cabaran dari segi persepsi awam.

 

“Apabila kita bercakap tentang AI atau IoT, semua orang mengenali dan merasai kesannya. Tetapi mengapa teknologi nuklear belum mencapai tahap penerimaan sebegitu? Mengapa teknologi lain mudah diterima, tetapi tidak nuklear?” katanya.


 

Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin
                                                   Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin

 


Menurut beliau, stigma terhadap teknologi nuklear sering berpunca daripada kaitan sejarah seperti insiden Hiroshima dan Fukushima, walaupun teknologi tersebut kini jauh lebih selamat dan digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor.

 

“Rakyat Jepun sendiri telah menikmati manfaat teknologi ini walaupun sejarah menunjukkan mereka paling teruk terjejas akibat letupan nuklear. Namun mereka tidak meninggalkan teknologi tersebut, sebaliknya terus maju dengan pelbagai teknologi canggih,” katanya.

 

Muhammad Rawi menjelaskan, cabaran utama dalam pembangunan tenaga nuklear di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kategori — cabaran umum seperti kos pembinaan yang tinggi mencecah berbilion ringgit dan tempoh pembangunan yang panjang, serta cabaran khusus melibatkan penerimaan masyarakat.

 

Bagi menangani isu persepsi, beliau berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk melaksanakan program libat urus secara sistematik bagi mendengar kebimbangan rakyat serta memberi penerangan mengenai manfaat teknologi nuklear.

 

“Pembangunan tenaga nuklear juga memerlukan tenaga kerja tempatan yang mencukupi dalam kalangan profesional dan pemain industri.

 

“Selain mengenal pasti dan melatih mereka lebih awal, industri berkaitan juga perlu dibangunkan sebagai satu ekosistem lengkap yang selaras dengan program tenaga nuklear negara,” katanya.

 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diamanahkan untuk membangunkan rangka kerja undang-undang dan peraturan bagi pelaksanaan tenaga nuklear di negara ini.

 

Malaysia juga merupakan penandatangan kepada beberapa perjanjian antarabangsa, termasuk Perjanjian Non-Proliferasi Senjata Nuklear dan Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).

 

“Sekiranya berlaku letupan atau ujian nuklear di luar negara, Stesen Pemantauan Radionuklid (RN42) di Cameron Highlands yang dikendalikan oleh CTBT dan Nuklear Malaysia akan dapat mengesannya serta-merta,” katanya.

 

Muhammad Rawi turut menegaskan bahawa semua aplikasi teknologi nuklear di Malaysia mesti mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan yang ketat.

 

Beliau memberi contoh penggunaan radioisotop dalam bidang perubatan, yang telah membantu merawat ribuan pesakit kanser setiap tahun, serta penggunaan peralatan pengukur nuklear (nuclear gauge) dalam industri minyak dan gas yang hanya dikendalikan oleh individu berlesen.

 

“Walaupun melibatkan sinaran, semua aplikasi ini diurus oleh pakar terlatih dalam persekitaran terkawal. Ini membuktikan bahawa teknologi nuklear boleh digunakan dengan selamat dan mampu membawa manfaat besar kepada masyarakat,” katanya. - DagangNews.com