KUALA LUMPUR 31 Jan - Tekanan ke atas margin faedah bersih (NIM) CIMB Group Holdings Bhd dijangka lebih sederhana pada 4QFY24 berbanding penyusutan 10 mata asas (bps) yang dicatatkan pada 4QFY23, kata Phillip Capital.
Katanya, sebab utamanya berlaku tekanan ke atas NIM berpunca daripada operasi di Malaysia dan Indonesia.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar deposit tetap dan borong runcit Malaysia dijangka mengalami peningkatan bermusim antara 5 hingga 10bps pada 4QFY24, walaupun kemudiannya kembali normal pada Januari 2025.
"Pengeluaran yang ketara dalam perbankan borong pada Disember 2024 terus menyumbang kepada tekanan NIM.
"CIMB Niaga menghadapi tekanan NIM berikutan pemotongan kadar Bank Indonesia pada September 2024 (-25bps) dan Januari 25 (-25bps)," katanya dalam satu nota kajian.
Phillip Capital berkata, kesan pemotongan kadar 25bps cenderung neutral atau positif untuk pendapatan dalam jangka sederhana, namun ketidakpadanan harga semula deposit telah menyebabkan beberapa turun naik jangka pendek.
Katanya, peningkatan persaingan untuk kecairan juga telah menghalang keupayaan untuk menyampaikan sepenuhnya faedah pemotongan kadar kepada kadar deposit.
"Di sebalik tekanan ini, CIMB telah menghasilkan pertumbuhan aset yang kukuh, terutamanya dalam pinjaman borong dan korporat.
"Secara keseluruhannya, pendapatan faedah bersih dijangka kekal kukuh berikutan pertumbuhan pinjaman yang sihat," katanya.
Pendapatan bukan faedah (NII) kumpulan pada 4QFY24 dijangka kembali normal, terutamanya dalam perdagangan dan pendapatan berkaitan tukaran mata wang asing, yang menyaksikan prestasi yang sangat kukuh pada 3QFY24.
Pendapatan yuran asas kekal teguh, walaupun terdapat kesan perbelanjaan kesetiaan sekali sahaja yang dikaitkan dengan program kad kredit di Malaysia dan Indonesia.
"Kualiti asset secara keseluruhan dijangka bertambah baik, disokong segmen kereta Malaysia dan trend yang menggalakkan dalam pinjaman pengguna Thailand," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM9.30 sesaham. - DagangNews.com








