Techna-X jual 50% pegangan dalam syarikat bateri Hong Kong pada harga RM45 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Techna-X jual 50% pegangan dalam syarikat bateri Hong Kong pada harga RM45 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Techna-X Bhd akan menjual keseluruhan 50% kepentingannya dalam syarikat pengeluar bateri dan kapasitor yang berpangkalan di Hong Kong, HK Aerospace Beidou New Energy Technology Co Ltd (HKAB) pada harga RM45 juta secara tunai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan bagi membiayai perniagaan restoran kumpulan itu di Semenanjung Malaysia.

 

“Sebanyak RM30 juta daripada hasil penjualan berkenaan akan disalurkan untuk membuka 10 restoran atau cawangan baharu di kawasan tengah Semenanjung Malaysia.

 

 

 

 

 

 

“Sebahagian daripada dana itu turut digunakan untuk menaik taraf dan memberikan wajah baharu kepada dua cawangan sedia ada menerusi Craveat International, pengendali rangkaian restoran Italiannies dan TGI Fridays di Malaysia.

 

“Baki RM15 juta pula akan digunakan bagi modal kerja dan menampung kos berkaitan urus niaga penjualan tersebut,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dana Disalur Untuk Besarkan Perniagaan Restoran

Daripada jumlah itu, RM13.5 juta akan digunakan sebagai modal kerja, termasuk bagi menjelaskan hutang perniagaan dan bayaran lain, selain menampung perbelanjaan operasi serta pentadbiran syarikat.

 

Sebanyak RM1.5 juta lagi diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan urus niaga penjualan kepentingan dalam HKAB.

 

Langkah tersebut memperlihatkan tumpuan Techna-X untuk mengalihkan sumber kewangannya kepada perniagaan restoran dan makanan, berbanding meneruskan pelaburan dalam syarikat teknologi bateri berkenaan.

 

Techna-X sebelum ini telah melabur sebanyak RM41.66 juta dalam HKAB pada Oktober 2020.

 

Walaupun HKAB kembali mencatat keuntungan sebanyak RM453,000 bagi tempoh 18 bulan berakhir 31 Disember 2025, prestasi kewangan syarikat itu sebelum ini mencatatkan kerugian yang besar.

 

Kedudukan Kewangan HKAB Masih Lemah

Bagi tempoh 18 bulan berakhir 31 Disember 2024, HKAB merekodkan kerugian sebanyak RM2.42 juta.

 

Syarikat itu turut mencatatkan kerugian lebih besar sebanyak RM17.06 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Sehingga akhir Disember tahun lalu, jumlah liabiliti HKAB sebanyak RM34.22 juta adalah lebih tinggi berbanding jumlah asetnya yang berjumlah RM21.06 juta.

 

Ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat itu pula berada pada kedudukan negatif RM20.95 juta, mencerminkan kedudukan kewangan HKAB yang masih mencabar.

 

Techna-X berkata, syarikat itu akan menjual keseluruhan kepentingannya dalam HKAB kepada Tess Global Sdn Bhd selepas memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan firma penasihat pelaburan itu.

 

Pelupusan Dijangka Beri Keuntungan Bersih RM19.74 Juta

Cadangan pelupusan tersebut dijangka menghasilkan keuntungan bersih kira-kira RM19.74 juta kepada Techna-X.

 

Antara pemegang saham Tess Global ialah Wong Khing Hung yang memiliki 40% kepentingan, diikuti Abdullah Abbas Wan Mohd Hasni dengan 38% dan Datuk Aziz Mustafa sebanyak 19%.

 

Bagaimanapun, urus niaga itu masih tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk proses penelitian dari aspek perundangan, kewangan dan percukaian yang memuaskan.

 

 

 

 

 

Ia juga memerlukan kelulusan pemegang saham dan lembaga pengarah, selain kelulusan Bursa Malaysia serta pihak berkuasa berkaitan di Malaysia atau Hong Kong.

 

Techna-X menjangkakan cadangan penjualan itu dapat diselesaikan menjelang suku kedua tahun 2027. - DagangNews.com