Harga minyak sawit mentah lebih kukuh dorong MBSB Research naik taraf 'beli' saham Ta Ann | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah lebih kukuh dorong MBSB Research naik taraf 'beli' saham Ta Ann

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Sept — Prospek harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dijangka membuka semula ruang kenaikan bagi saham Ta Ann Holdings Berhad, menurut analisis MBSB Research.

 

Situasi positif berkenaan ujar firma penyelidikan tersebut, dijangka mengimbangi risiko cuaca kering dan turun naik hasil tandan buah segar (FFB) yang menjadi cabaran utama kumpulan itu.

 

Susulan pertemuan dengan pihak pengurusan, ia menaik taraf saham syarikat itu kepada 'beli' daripada 'neutral' selain menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM6.72, berbanding RM6.08.

 

"Ta Ann ada hubungan sejarah kukuh dengan pergerakan harga MSM, manakala pulangan tunai konsisten melalui pembayaran dividen turut menjadi faktor sokongan penilaian saham," kata MBSB Research.

 

Bagi FY25, dividen dibayar 40 sen sesaham, memberikan pulangan lebih 7% dengan nisbah pembayaran hampir 80%, malah firma itu menjangkakan dividen masing-masing 6.4% dan 5.6% bagi FY26 dan FY27.

 

Dari segi operasi, pengeluaran FFB pada FY26 kekal di landasan mencapai sasaran 740,000 tan, naik hingga 8% berbanding 686,000 tan metrik pada FY25, meskipun rendah daripada unjuran sebelumnya.

 

MBSB Research berkata pihak pengurusan Ta Ann yakin mencapai sasaran itu berdasarkan pembentukan tandan yang semakin baik menjelang kitaran pengeluaran lebih tinggi sepanjang separuh kedua FY26.

 

Ta Ann_DagangNews2026

 

"Bagaimanapun, kadar perahan minyak (OER) pada suku kedua FY26 dikhuatiri susut kepada 19.88% berbanding 20.62% pada suku kedua FY25, terutama akibat faktor berkaitan cuaca," jelasnya.

 

Namun, pihak pengurusan kumpulan berkenaan memaklumkan kepada firma itu yang OER di kilang sudah dapat pulih kepada sekitar 20%, dengan peningkatan selanjutnya dijangka pada separuh kedua FY26.

 

Dari aspek cuaca, MBSB Research melihat Ta Ann agak terlindung daripada kesan keadaan kering berbanding sesetengah kawasan di Semenanjung Malaysia, dengan 70% kawasan berada di tanah gambut.

 

Situasi berkenaan ujarnya, mempunyai keupayaan mengekalkan kelembapan lebih baik ketika musim kering, walaupun risiko kekal jika fenomena El Niño berpanjangan menjejaskan hasil masa depan.

 

"Tekanan kos dijangka kurang pada 2HFY26, dengan kos pengeluaran MSM pada 2QFY26 sekitar RM2,000 setiap tan, manakala sasaran kos pengeluaran FY26 ditetapkan sekitar RM2,100 satu tan," katanya.

 

Tambah MBSB Research, harga tender baja terkini yang kira-kira 9% lebih rendah turut memberi petunjuk bahawa kos pembajaan dikendalikan Ta Ann sebenarnya berpotensi cerah untuk susut.

 

Susulan pandangan positif itu, ia menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 kepada 56 sen, dengan penilaian berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 12 kali.

 

Bagaimanapun, prestasi sahamnya masih terdedah kepada risiko turun naik harga MSM, keadaan cuaca kering yang berpanjangan serta potensi tekanan terhadap hasil FFB. - DagangNews.com