KUALA LUMPUR 4 Sept — Kebergantungan Kee Ming Group Berhad kepada projek pusat data (DC) yang semakin meningkat menjadi antara cabaran utama kumpulan itu, menurut Maybank Investment Bank.
Langkah berkenaan ujar firma penyelidikan itu, wajar ditangani bagi memastikan kadar pertumbuhan pendapatannya kekal mampan, walaupun prospek segmen DC kekal kukuh dengan peningkatan permintaan.
Katanya, kumpulan itu perlu terus mempelbagaikan sumber pertumbuhan bagi mengurangkan risiko tumpuan berlebihan kepada satu segmen terutama tender kemudahan mekanikal dan elektrikal (M&E).
"Usaha ini penting memandangkan sebahagian besar buku tender Kee Ming makin condong kepada projek DC, dengan nilai keseluruhan naik 29% suku ke suku (QoQ) kepada RM2.2 bilion," jelas Maybank IB.
Daripada jumlah itu, 47% terdiri projek DC, menunjukkan peluang pertumbuhan besar tetapi pada masa sama meningkatkan pendedahan kitaran pelaburan serta perbelanjaan modal dalam industri DC.
Bagaimanapun, firma itu kekal positif terhadap prospek syarikat susulan buku tempahan terkumpul bernilai RM246.4 juta selepas memperoleh kontrak industri baharu bernilai kira-kira RM40 juta.
Tender semasa Kee Ming kata Maybank IB, masih wajar meliputi 24% projek industri, 13% komersial, 10% DC, 7% kediaman serta kira-kira 46% projek voltan tinggi (HV) dan kemudahan penyambungan (IF).

"Kami menjangka momentum pendapatan kumpulan bertambah kukuh pada separuh kedua FY2027 apabila sebahagian besar projek sedia ada memasuki fasa pengiktirafan hasil lebih tinggi," ujarnya.
Dalam masa sama tambahnya, syarikat tersebut menyasarkan pakej projek DC yang lebih besar bernilai lebih RM100 juta, berbanding saiz kontrak dalaman biasa sekitar RM20 juta hingga RM50 juta.
Maybank IB turut melihat peluang pengembangan Kee Ming dalam projek pencawang voltan tinggi bagi DC serta projek Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang boleh membantu mempelbagaikan perkhidmatan.
Peluang luas tersebut jelasnya, namun masih belum dimasukkan dalam unjuran firma penyelidikan itu sementara menunggu sekiranya ada kemenangan untuk projek pertama yang diraih kumpulan berkenaan.
"Bagi FY27, syarikat menyasarkan kontrak baharu sebanyak RM250 juta, dengan RM138 juta sudah diperoleh setakat ini, dan kami lebih optimistik dengan mengunjurkan RM350 juta," katanya lagi.
Susulan prospek yang lebih kukuh bagi pengisian semula kontrak tambahan dan harga saham yang lemah baru-baru ini, Maybank IB menaik taraf penarafan Kee Ming kepada 'beli' daripada 'pegang'.
Ia namun mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM2.42 berdasarkan sahamnya didagangkan 18 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY8, iaitu kira-kira 0.5 sisihan piawai di atas purata.
Firma itu namun mengingatkan usaha penukaran buku tender kepada kontrak sebenar dan mengurangkan kebergantungan segmen DC antara faktor penting perlu diperhatikan pelabur. - DagangNews.com








