Tawaran pengambilalihan wajib 90 sen sesaham Timberwell disifatkan ‘tidak adil tetapi munasabah’ - Penasihat bebas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran pengambilalihan wajib 90 sen sesaham Timberwell disifatkan ‘tidak adil tetapi munasabah’ - Penasihat bebas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Mac - Tawaran pengambilalihan wajib pada harga 90 sen sesaham bagi Timberwell Bhd oleh pemegang saham terbesarnya, Wong Wai Foo, disifatkan sebagai “tidak adil tetapi munasabah” oleh penasihat bebas.

 

NewParadigm Securities Sdn Bhd yang dilantik bagi menilai tawaran tersebut berkata, saham Timberwell mempunyai kecairan dagangan yang agak rendah dan tiada tawaran alternatif walaupun harga tawaran itu berada di bawah anggaran nilai sebenar syarikat.

 

Menurut firma penasihat itu, tawaran tunai tersebut mewakili diskaun berbanding nilai aset bersih dinilai semula (RNAV) syarikat, namun masih memberi peluang kepada pemegang saham untuk keluar daripada pelaburan mereka pada harga premium berbanding harga pasaran sejarah.

 

Dalam pekeliling yang difailkan kepada Bursa Malaysia, NewParadigm berkata harga tawaran 90 sen sesaham adalah kira-kira 28% lebih rendah daripada anggaran RNAV Timberwell sebanyak RM1.25 sesaham.

 

Bagaimanapun, penasihat bebas itu berpandangan tawaran tersebut masih munasabah memandangkan kecairan dagangan saham yang rendah serta ketiadaan tawaran bersaing.

 

“Berdasarkan perkara di atas, kami berpendapat tawaran ini adalah tidak adil tetapi munasabah,” katanya sambil menambah bahawa pemegang saham boleh mempertimbangkan untuk menerima tawaran itu sebagai pilihan keluar secara tunai.

 

Tawaran dicetuskan selepas pegangan melepasi ambang

Tawaran pengambilalihan wajib itu tercetus selepas Wong Wai Foo memperoleh tujuh juta saham Timberwell, mewakili kira-kira 7.86% pegangan, pada harga 90 sen sesaham melalui urus niaga perniagaan langsung pada 5 Februari lalu.

 

Pemerolehan tersebut meningkatkan pegangan beliau dalam kumpulan perhutanan dan pembalakan berpangkalan di Sabah itu kepada kira-kira 36.73%, sekali gus melepasi ambang yang mewajibkan tawaran pengambilalihan dibuat terhadap baki saham syarikat mengikut peraturan pengambilalihan.

 

Tawaran itu dilaksanakan melalui Quattrini Holdings Sdn Bhd, syarikat milik penuh Wai Foo.

 

Sehingga 5 Mac, selepas mengambil kira penerimaan tawaran serta pembelian tambahan saham di pasaran, Wai Foo bersama pihak yang bertindak secara bersama (PAC) secara kolektif memegang kira-kira 54.95% kepentingan dalam Timberwell, menyebabkan tawaran pengambilalihan tersebut menjadi tanpa syarat.

 

Tawaran berkenaan kekal dibuka untuk penerimaan sehingga 19 Mac ini, melainkan dilanjutkan.

 

Pengarah bebas sokong cadangan penasihat

Dalam pada itu, pengarah bukan berkepentingan Timberwell turut bersetuju dengan penilaian penasihat bebas bahawa tawaran tersebut adalah tidak adil tetapi munasabah, dan turut mengesyorkan pemegang saham menerima tawaran itu.

 

Mereka menjelaskan bahawa tawaran tersebut tercetus susulan pemerolehan saham oleh Wai Foo dan bukannya sebahagian daripada rancangan untuk menyahsenaraikan syarikat.

 

Malah, pihak penawar bercadang untuk mengekalkan status penyenaraian Timberwell Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia- DagangNews.com