KUALA LUMPUR 4 Jun – Tawaran pengambilalihan ke atas Maxim Global Bhd oleh Pengarah Urusan kumpulannya, Tan Sri Gan Seong Liam disifatkan sebagai tidak adil dan tidak munasabah oleh penasihat bebas yang dilantik.
Penasihat bebas, MainStreet Adviser Sdn Bhd berkata harga tawaran sebanyak 24 sen sesaham adalah jauh lebih rendah berbanding nilai sebenar syarikat berdasarkan beberapa kaedah penilaian.
Menurut firma itu, nilai Maxim Global dianggarkan sekitar RM656 juta, bersamaan kira-kira 89 sen sesaham berdasarkan nilai aset bersih disemak semula.
“Berdasarkan nilai aset bersih, syarikat itu juga dianggarkan sekitar 76 sen sesaham, menunjukkan jurang besar berbanding harga tawaran semasa.
“Perbezaan ketara antara nilai asas syarikat dan harga tawaran itu menunjukkan tawaran berkenaan tidak mencerminkan nilai sebenar perniagaan kumpulan tersebut,” katanya.
MainStreet Adviser turut menegaskan bahawa tawaran itu juga tidak munasabah dari sudut pertimbangan pasaran dan kepentingan pemegang saham minoriti.
Ini kerana walaupun tawaran dibuat, Gan dan pihak berkaitan masih mengekalkan status penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, yang bermaksud pemegang saham minoriti masih mempunyai pilihan untuk kekal melabur atau menjual saham mereka.
Namun begitu, harga tawaran yang jauh lebih rendah dilihat memberi tekanan kepada pemegang saham minoriti untuk keluar pada nilai yang tidak setara dengan asas sebenar syarikat.
Tawaran tersebut dibuat selepas Gan membeli pegangan tambahan sebanyak 15.54 peratus dalam Maxim Global daripada dua eksekutif syarikat, iaitu Chai Chang Guan dan adiknya Chai Seong Min dengan nilai RM27.42 juta.
Selepas transaksi itu, pegangan langsung Gan dalam syarikat meningkat kepada 37.33 peratus.
Secara keseluruhan, Gan bersama pihak yang mempunyai kaitan dengannya termasuk dua anak beliau yang turut memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif kini menguasai sebanyak 60.37 peratus pegangan saham dalam syarikat tersebut.
Dua anak beliau kini turut memegang jawatan dalam lembaga pengarah, sekali gus mengukuhkan kawalan keluarga ke atas syarikat tersebut.
Susulan itu, tawaran pengambilalihan wajib dibuat seperti yang ditetapkan di bawah peraturan pasaran modal apabila seseorang pemegang saham melepasi ambang kawalan tertentu.
Pemegang saham minoriti mempunyai tempoh sehingga 15 Jun untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut.
Syarikat itu kembali mencatat keuntungan selepas pulih pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Bagi tahun kewangan 2025, Maxim Global merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM33.44 juta dengan hasil RM443.78 juta, menunjukkan prestasi operasi yang lebih stabil.- DagangNews.com








