Tarif AS dianggar beri kesan minimum kepada Scientex - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif AS dianggar beri kesan minimum kepada Scientex - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - Scientex Bhd dianggar menerima kesan langsung yang minimum daripada ancaram tarif Amerika Syarikat (AS) memandangkan kumpulan itu mempunyai kilang pembuatan di negara itu, kata Kenanga Research.

 

Katanya, keadaan itu menjadikan eksport ke AS kurang 5% daripada jumlah hasil keseluruhan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan memberikan panduan mengenai prospek yang mencabar bagi segmen pembungkusan plastiknya berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan tarif serta persaingan agresif dalam pasaran.

 

"Dengan harga minyak mentah yang meningkat lebih daripada 10% disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat, kami sedang memantau sebarang kemungkinan kenaikan harga resin,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, Scientex mencatatkan untung bersih yang lebih rendah sebanyak RM123.87 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2025, berbanding RM130.5 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pengeluar pembungkusan dan pemaju hartanah itu berkata keuntungan yang lebih rendah itu disebabkan penurunan jualan eksport dan kerugian pertukaran mata wang asing dalam bahagian pembungkusan, yang menyaksikan hasilnya merosot sebanyak 6.4 peratus kepada RM614.8 juta daripada RM656.9 juta.

 

Bagi bahagian hartanahnya, Kenanga Research berkata, jualan hartanah mampu milik dijangka kekal kukuh memandangkan kadar pengambilan yang menggalakkan daripada pelancaran projek terkini.

 

Katanya, jualan belum dibil kumpulan ini berjumlah RM1.7 bilion setakat suku kedua tahun kewangan semasa.

 

“Dalam tempoh setahun lalu, kami melihat permintaan berterusan untuk rumah mampu milik yang berharga bawah RM500,000, manakala terdapat selera yang semakin meningkat untuk rumah dalam julat harga RM500,000 hingga RM1 juta, menandakan peningkatan dalam kemampuan pembeli,” katanya.

 

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan penarafan "market perform" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM3.60, berbanding RM3.34 sesaham. - DagangNews.com