KUALA LUMPUR 4 Jun - Pulau Pinang akan melaksanakan tarif air baharu bagi pengguna domestik dan bukan domestik bermula 1 Julai ini selepas pelaksanaannya ditangguhkan selama 12 bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kadar purata tarif air domestik bagi penggunaan 35 meter padu (m³) pertama sebulan ditetapkan pada RM0.93 bagi setiap m³.
Beliau berkata, pelarasan itu melibatkan kenaikan maksimum bil air sebanyak RM2.55 sebulan bagi 82% pengguna domestik atau isi rumah yang menggunakan 35m³ air atau kurang setiap bulan, bersamaan kira-kira 8.5 sen sehari.
“Bagi blok pertama iaitu 20,000 liter (20m³) pertama, kenaikan hanya tiga sen daripada 62 sen kepada 65 sen, manakala bagi penggunaan antara 20,000 liter hingga 35,000 liter (20m³ hingga 35m³), kadar meningkat sebanyak 13 sen daripada RM1.17 kepada RM1.30.
“Bagaimanapun, pengiraan purata dibuat berdasarkan penggunaan 35m³ pertama kerana ia merupakan penanda aras yang lazim digunakan dalam struktur tarif,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Zairil berkata, Pulau Pinang masih berada dalam kalangan negeri yang menawarkan tarif air paling rendah, malah kedua terendah di Malaysia selepas Perak (RM0.89) dan masih di bawah purata kebangsaan sebanyak RM1.12.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pengguna bukan domestik, kadar purata tarif baharu untuk penggunaan 500m³ pertama sebulan ialah RM2.28 bagi setiap m³.
Katanya, kenaikan maksimum bil air melibatkan 27% pengguna bukan domestik seperti kilang, hotel, pusat beli-belah, premis perniagaan dan pejabat kerajaan yang menggunakan 500m³ air atau kurang sebulan adalah sebanyak RM77.70 sebulan atau RM2.59 sehari.
“Sehubungan itu, pengguna bukan domestik yang menggunakan 500m³ sebulan akan membayar RM1,141.70 sebulan mulai 1 Julai 2026 berbanding RM1,064.00 sebelum ini. Perbezaan itu lebih rendah bagi mereka yang menggunakan kurang daripada 500m³ sebulan,” katanya.
Menurut beliau, pelarasan tarif itu diperlukan bagi memastikan perkhidmatan bekalan air yang mampan serta menyokong pelaburan berterusan dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur air di negeri berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Datuk K. Pathmanathan berkata, pelarasan tarif hanya melibatkan pengguna domestik dan bukan domestik.
Beliau berkata, rumah ibadat, institusi kebajikan, sektor perkapalan serta kategori lain tidak akan dikenakan sebarang kenaikan dan kadar tarif sedia ada kekal tidak berubah.
Menurutnya, pengguna yang mempunyai isi rumah besar boleh memohon rebat menerusi Skim Rebat Mesra Keluarga yang ditawarkan PBAPP, iaitu rebat RM20 bagi setiap bil air dua bulan sekali untuk isi rumah yang layak.
Pada 30 Julai 2025, kerajaan Persekutuan telah mewartakan kadar tarif air baharu bagi Pulau Pinang serta sembilan negeri lain dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP menangguhkan pelaksanaan kadar baharu tersebut selama setahun sehingga 1 Julai 2026. - BERNAMA








