Tarif 10% AS: Masih terlalu awal untuk melihat kesan, kata Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif 10% AS: Masih terlalu awal untuk melihat kesan, kata Amir Hamzah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Jun - Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dan memilih untuk menunggu hasil siasatan serta proses konsultasi yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat (AS) berhubung cadangan pengenaan duti tambahan sebanyak 10% ke atas import dari Malaysia.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, masih terlalu awal untuk menilai kesan sebenar cadangan tarif tersebut memandangkan proses semakan oleh pihak berkuasa AS belum dimuktamadkan.

 

Menurut beliau, siasatan dan tempoh mendapatkan maklum balas awam masih berjalan, justeru Malaysia akan terus memantau perkembangan tersebut sebelum membuat sebarang penilaian lanjut.

 

“Kita akan melihat dan menilai semula selepas semua proses siasatan dan konsultasi selesai dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Energy Transition Conference 2026 (ETCon26) hari ini.

 

Beliau berkata, Malaysia juga perlu memahami asas serta justifikasi yang digunakan oleh pihak AS dalam mencadangkan langkah berkenaan bagi memastikan sebarang tindakan susulan dapat dibuat berdasarkan fakta dan penilaian yang tepat.

 

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa cadangan tarif tersebut bukan keputusan muktamad kerana masih tertakluk kepada proses rundingan awam yang sedang dijalankan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

 

MITI berkata, kadar tarif 10% yang dicadangkan ke atas Malaysia merupakan yang terendah dalam kalangan negara yang terlibat dalam siasatan itu, sekali gus mencerminkan pengiktirafan USTR terhadap komitmen Malaysia dalam memperkukuh usaha membanteras amalan buruh paksa menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balik.

 

Kementerian itu turut menegaskan bahawa dapatan USTR bukan berpunca daripada penemuan bahawa Malaysia mengamalkan buruh paksa, sebaliknya berkaitan ketiadaan undang-undang khusus yang melarang kemasukan produk yang dihasilkan menggunakan buruh paksa ke dalam negara.

 

Menurut MITI, Malaysia telah mempunyai rangka kerja perundangan yang komprehensif bagi menangani isu berkenaan, termasuk undang-undang berkaitan pemerdagangan manusia, standard pekerjaan serta perlindungan kebajikan pekerja.

 

Pada Selasa lalu, USTR mencadangkan pengenaan duti tambahan sebanyak 10% ke atas import daripada 15 ekonomi termasuk Malaysia selepas menjalankan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan perdagangan produk yang dikaitkan dengan buruh paksa.

 

Selain Malaysia, negara dan ekonomi lain yang berdepan cadangan tarif sama termasuk Kanada, Kesatuan Eropah, Indonesia, Mexico, Pakistan, Bangladesh, Kemboja, Taiwan dan United Kingdom. - DagangNews.com