Tanco Holdings teroka perniagaan produk konkrit menerusi usaha sama dengan syarikat Hong Kong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tanco Holdings teroka perniagaan produk konkrit menerusi usaha sama dengan syarikat Hong Kong

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei – Tanco Holdings Bhd meluaskan penglibatannya dalam sektor bahan binaan apabila meneroka perniagaan pembuatan produk konkrit menerusi usaha sama dengan syarikat berpangkalan di Hong Kong, King Well Holdings Ltd (KWHL).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tanco berkata, anak syarikat milik penuhnya secara tidak langsung, Tanco Precast Industries Sdn Bhd telah memeterai perjanjian usaha sama dengan pemegang saham dengan KWHL bagi menjalankan aktiviti fabrikasi, pembuatan, pembekalan dan penjualan produk berkaitan konkrit di Malaysia.

 

“Kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JVCo) dengan Tanco Precast Industries memegang 51% kepentingan ekuiti, manakala baki 49% dimiliki KWHL,” katanya dalam makluman tersebut.

 

KWHL adalah syarikat dari Hong Kong yang mempunyai pengalaman luas dalam pembuatan, pembekalan dan penjualan produk berkaitan konkrit di China.

 

Di bawah struktur pengurusan yang dipersetujui, lembaga pengarah JVCo akan dianggotai lima pengarah dengan tiga daripadanya dilantik oleh Tanco Precast Industries dan dua lagi oleh KWHL.

 

Sementara itu, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan JVCo akan dilantik daripada kalangan pengarah yang dicalonkan oleh Tanco Precast Industries, manakala KWHL akan melantik Pengurus Besar yang bertanggungjawab mengendalikan operasi harian dan pengurusan perniagaan usaha sama tersebut.

 

Menurut Tanco, JVCo merancang membangunkan kilang atau loji pertamanya di atas tanah milik kumpulan Tanco dan subsidiarinya, dengan KWHL diberi tanggungjawab utama bagi penyediaan kilang selain operasi fabrikasi dan pembuatan.

 

Katanya, cadangan usaha sama itu akan menyediakan platform kepada kumpulan untuk membina rantaian bekalan sendiri bagi produk berkaitan konkrit sekali gus mengukuhkan perniagaan pembinaan dan bahan binaannya pada masa depan.

 

Selain memenuhi keperluan projek pembangunan kumpulan, usaha sama tersebut juga dijangka membolehkan Tanco memanfaatkan permintaan pasaran Malaysia terhadap produk konkrit dan bahan binaan berkaitan.

 

Tanco berkata, langkah itu juga dilihat mampu menyokong projek pembangunan akan datang kumpulan selain mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar bagi bahan binaan tertentu.

 

Bagaimanapun, perjanjian itu masih tertakluk kepada beberapa syarat termasuk persetujuan kedua-dua pihak terhadap kajian kebolehlaksanaan projek dan anggaran kos pembangunan kasar dalam tempoh empat bulan.

 

Cadangan usaha sama berkenaan turut memerlukan kelulusan, permit serta lesen berkaitan daripada pihak berkuasa Malaysia sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya. - DagangNews.com