KUALA LUMPUR 1 Sept - Tambahan RM1 bilion dalam kemudahan pembiayaan mikro, yang menjadikan jumlah peruntukan bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion daripada RM5 bilion, perlu disertai prosedur permohonan yang mudah, terma pembiayaan yang berpatutan serta proses kelulusan dan penyaluran dana yang lebih pantas, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, langkah itu penting memandangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berdepan tekanan daripada peningkatan kos operasi serta kekangan aliran tunai.
“Kerajaan juga perlu memastikan akses pembiayaan yang mencukupi bagi pengilang kecil yang layak serta perniagaan berkaitan sektor pembuatan.
“Langkah-langkah ini boleh membantu membebaskan sumber kewangan bagi membolehkan perniagaan meneruskan operasi, mengekalkan pekerja dan melaksanakan pelaburan yang meningkatkan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Ogos mengumumkan enam langkah segera yang bertujuan mengurangkan tekanan kos terhadap perniagaan dan isi rumah menjelang Belanjawan 2027 menerusi ucapan Hari Kebangsaan 2026.
Lee turut berkata FMM mengiktiraf keputusan kerajaan memperkenalkan langkah-langkah yang dapat memberikan sokongan lebih segera ketika perniagaan terus berdepan tekanan kos operasi, kekangan aliran tunai serta persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan kompetitif.
“Walaupun beberapa inisiatif itu menyasarkan isi rumah dan masyarakat secara keseluruhannya, ia juga akan memberikan kesan limpahan positif kepada perniagaan dan ekonomi,” katanya.
Persekutuan itu turut mengalu-alukan keputusan untuk meningkatkan ambang jualan tahunan bagi pelaksanaan mandatori e-Invois kepada RM3 juta daripada RM1 juta di bawah ambang pengecualian e-Invois yang lebih tinggi.
Menurut FMM, langkah itu akan memberikan kelegaan bermakna kepada perniagaan lebih kecil dengan mengurangkan kos pematuhan, keperluan pentadbiran serta sumber yang diperlukan untuk melaksanakan dan mengekalkan sistem e-Invois.
“Bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta yang telah melaksanakan e-Invois berdasarkan ambang sebelumnya, FMM menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia memberikan penjelasan awal sama ada mereka boleh memilih untuk tidak lagi melaksanakan e-Invois susulan semakan ambang tersebut atau meneruskannya secara sukarela,” katanya.
Lee menegaskan bahawa perniagaan yang telah membuat pelaburan dalam sistem dan memulakan pelaksanaan e-Invois perlu terus menerima panduan teknikal serta sokongan sewajarnya sebagai pengguna awal. - BERNAMA








