KUALA LUMPUR 3 Dis – Talam Transform Bhd kini menjadi tumpuan kerana tiga pemegang saham yang memiliki sekurang-kurangnya 10% saham telah memohon mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk melantik juruaudit forensik, susulan syarikat mencatat kerugian selama 16 suku berturut-turut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata pihaknya menerima surat bertarikh 1 Disember 2025 daripada Ang Lam Poah, Loo Leong Fatt dan anaknya, Loo Foong Luan.
Ang Lam Poah juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Jaks Resources Bhd.
Permohonan EGM itu dikemukakan di bawah Seksyen 310, 311 dan 312 Akta Syarikat 2016 bagi mempertimbangkan pelantikan juruaudit forensik.
Lembaga pengarah Talam Transform memaklumkan ia masih meneliti permohonan tersebut dan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pemohon sebelum membuat sebarang keputusan.
Bagi 2QFY26 berakhir 30 September 2025, kumpulan itu melaporkan kerugian bersih RM8.11 juta ke atas hasil RM6.90 juta, berbanding kerugian bersih RM6.64 juta dengan hasil RM4.19 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Kerugian yang lebih tinggi itu didorong terutamanya oleh perbelanjaan nilai saksama sebanyak 84,000 bagi skim opsyen saham pekerja yang baharu dilaksanakan serta caj susut nilai sebanyak 77,000 juta ke atas satu penghutang.
Secara suku ke suku, hasil melonjak 125.9% kepada RM6.90 juta daripada RM3.05 juta pada suku sebelumnya, dipacu sumbangan hasil pembinaan baharu sebanyak RM3.72 juta.
Namun, kerugian sebelum cukai melebar sebanyak RM1.26 juta secara suku ke suku.
Bagi separuh pertama FY2026, hasil kumulatif meningkat kepada RM9.95 juta, namun kerugian bersih terkumpul turut melebar kepada RM14.96 juta, berbanding hasil RM6.04 juta dan kerugian RM10.81 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Ke hadapan, Talam memaklumkan ia masih mempunyai beberapa projek usaha sama dan perancangan pembangunan baharu, namun memberi amaran bahawa kelembapan pasaran hartanah, kekangan kecairan serta dasar pembiayaan yang lebih ketat dijangka terus memberi tekanan kepada industri. - DagangNews.com








