KUALA LUMPUR 30 Jun - TA Securities menaikkan unjuran pendapatan United Malacca Bhd sebanyak 2.2% bagi FY26 dipacu peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS).
Pada FY25, keuntungan bersih teras meningkat lebih dua kali ganda, melonjak sebanyak 96.9% tahun ke tahun kepada RM117.8 juta.
Kumpulan mencatat hasil sebanyak RM182.5 juta bagi suku keempat FY25 (4QFY25), meningkat 6.4% berbanding 4QFY24.
Selepas mengecualikan item luar biasa, keuntungan bersih teras melonjak sebanyak 76.5% tahun ke tahun kepada RM34.2 juta.
“Kami telah menyemak semula unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing meningkat sebanyak 2.2% dan 2.1%, selepas memasukkan keputusan FY25 ke dalam model kami,” kataya dalam satu nota kajian.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak tujuh sen sesaham dan dividen khas satu peringkat sebanyak enam sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY25 kepada 18 sen sesaham, meningkat daripada 12 sen sesaham pada FY24.
TA Securities berkata, pengeluaran BTS pada FY25 meningkat sebanyak 2.9% tahun ke tahun kepada 454,900 tan, didorong peningkatan hasil dari ladang-ladang di Indonesia, manakala pengeluaran di Malaysia kekal hampir tidak berubah.
Purata harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) di Malaysia pada FY25 masing-masing meningkat sebanyak 14% dan 45% kepada RM4,366/tan dan RM3,010/tan.
Di Indonesia, purata harga MSM dan PK masing-masing meningkat sebanyak 13.1% dan 72.1% tahun ke tahun kepada RM3,843/tan dan RM2,789/tan.
TA Securities menjangkakan, United Malacca akan meningkatkan pengeluaran FFB, bahan mentah untuk minyak sawit pada FY26, disokong profil umur pokok kelapa sawit yang lebih baik dan peningkatan kecekapan operasi.
Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap harga MSM, memandangkan permintaan eksport dari negara pengimport utama telah berkurangan dan bekalan minyak sayuran global dijangka meningkat.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com








