TA Securities: Kontrak baharu diraih Inta Bina di Klang diyakini menyumbang untung bersih RM11.4 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities: Kontrak baharu diraih Inta Bina di Klang diyakini menyumbang untung bersih RM11.4 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 JunInta Bina Group Berhad dijangka meraih tambahan keuntungan bersih sekitar RM11.4 juta sepanjang tempoh pembinaan selepas memperoleh kontrak baharu bernilai RM227.1 juta.

 

Menurut TA Securities, pembangunan komersial bercampur di Klang, Selangor itu turut mengukuhkan prospek pendapatan kumpulan dan meningkatkan buku tempahannya kepada kira-kira RM1.7 bilion.


Kontrak tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn Bhd, daripada Ancubic PJ Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan utama dan infrastruktur projek itu.


"Tender diperoleh Inta Bina ini yang melibatkan dua fasa meliputi 976 unit pangsapuri servis, unit rumah mampu milik, podium runcit, kemudahan parkir, serta pelbagai fasiliti sokongan," katanya.


Tambah TA Securities, projek berkenaan yang terletak berdekatan dengan Jalan Remia dan Jalan Botanika, mempunyai tempoh pembinaan selama 36 bulan dan dijadualkan bermula pada 15 Jun 2026.


Sehubungan itu katanya, berdasarkan andaian margin keuntungan bersih sebanyak 5%, kontrak tersebut dianggarkan menyumbang kira-kira RM11.4 juta keuntungan bersih sepanjang tempoh pembinaannya.


Susulan itu, buku tempahan terkumpul Inta Bina dianggarkan naik kepada RM1.7 bilion, bersamaan 2.6 kali ganda hasil pembinaan FY25, dan menyediakan keterlihatan pendapatan kukuh beberapa tahun.


"Kontrak ini merupakan kemenangan projek ketiga syarikat bagi FY26, sekali gus menjadikan jumlah kontrak baharu yang diraih setakat tahun ini meningkat kepada RM308.5 juta," kata TA Securities.


 

Artikel berkaitan: Inta Bina raih kontrak RM227 juta projek pembangunan bercampur di Klang
 

Inta Bina_DagangNews2026



Jumlah tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, mewakili kira-kira 36.3% daripada sasaran pengisian kontrak baharu sebanyak RM850 juta yang diunjurkan bagi keseluruhan tahun kewangan 2026.


Di samping itu menurutnya, momentum pengisian kontrak Inta Bina dijangka bertambah baik dalam suku-suku akan datang dengan disokong faktor buku tender kumpulan yang bernilai RM4.9 bilion.


Ancubic Group ujar TA Securities, merupakan pelanggan baharu dan kejayaan projek ini berpotensi membuka peluang untuk terlibat dalam projek masa depan yang dibangunkan oleh pemaju tersebut.


"Kami percaya hubungan terjalin menerusi projek ini mampu meningkatkan peluang kumpulan meraih kontrak susulan dan mengukuhkan keterlihatan pengisian buku tempahan pada masa hadapan," katanya.


Memandangkan kontrak baharu diperoleh Inta Bina itu selari dengan jangkaan, firma penyelidikan tersebut masih lagi mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan tanpa sebarang perubahan.


TA Securities turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) 71 sen sesaham berdasarkan 7.5 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada 2027.


Jelasnya, ia kekal menarik sebagai pilihan pelaburan berikutan kedudukan sebagai penerima manfaat langsung pertumbuhan sektor hartanah domestik, disokong buku tempahan kukuh. - DagangNews.com