KUALA LUMPUR 19 Sept - Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober dijangka menjadi pelan fiskal tahunan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan penekanan lebih kukuh terhadap disiplin fiskal, pemacuan sektor strategik serta pelaksanaan subsidi bersasar, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah peruntukan sebanyak RM425.5 bilion, meningkat 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Angka itu merangkumi RM341.5 bilion perbelanjaan mengurus dan RM84 bilion perbelanjaan pembangunan, berbanding unjuran 2025 masing-masing RM329.3 bilion dan RM82.5 bilion.
Unjuran hasil yang lebih kukuh dijangka memacu penyatuan fiskal, dengan defisit kerajaan menurun kepada RM80.7 bilion atau 3.8 peratus daripada KDNK pada 2026 (TA 2025: 4.0%, Kementerian Kewangan: 3.8%).
Hasil kerajaan dijangka meningkat 4.0 peratus kepada RM343.8 bilion, dipacu kutipan cukai langsung dan tidak langsung yang lebih tinggi, sumbangan setahun penuh daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta pelaksanaan e-invois.
Walaupun berdepan kelemahan ekonomi akibat tarif Amerika Syarikat, pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2026 dijangka berada pada paras 4.5 peratus, iaitu di hujung bawah sasaran RMK13, sejajar dengan unjuran TA Research antara 4.5 hingga 5.0 peratus.
Pertumbuhan itu akan dipacu sektor perkhidmatan dan pembuatan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan gaji dan aliran pelaburan swasta.
Sektor yang bakal mendapat manfaat
Pembinaan & hartanah: Tiada projek mega baharu, tetapi tumpuan berterusan kepada projek yang telah diumumkan seperti LRT Pulau Pinang, ART di Johor dan Wilayah Persekutuan, Hab Teknologi Tinggi Pulau Carey, ECRL, dan Jalan Penghubung Sabah–Sarawak. MRT3 dijangka menunjukkan perkembangan pada 2026. Antara syarikat yang bakal menerima manfaat termasuk Gamuda, IJM, SunCon, TRC, Sime Darby Property, SP Setia, IOI Properties dan Mah Sing.
Digital & tenaga: Peruntukan besar untuk ekonomi digital dan inisiatif mampan, termasuk pelaksanaan cukai karbon bagi sektor besi, keluli dan tenaga, memberi kelebihan kepada Telekom Malaysia, Tenaga Nasional dan YTL Power.
Teknologi: Sokongan terhadap strategi semikonduktor, eksport bernilai tinggi dan adaptasi teknologi dijangka menguntungkan Inari, MPI dan Unisem.
Pengguna: Langkah mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan pendapatan boleh guna bakal membantu peruncit dan syarikat F&B seperti AEON, Fraser & Neave, Focus Point, Nestlé dan Padini.
Sektor berdosa (sin sectors): Tiada kenaikan duti baharu untuk arak (Carlsberg, Heineken Malaysia) dan perjudian (Genting, GENM, Sports Toto), namun cukai pelancongan bagi penginapan mungkin dinaikkan.
Tonggak dasar
Dipandu oleh Ekonomi Madani, Belanjawan 2026 dijangka berteraskan tiga tiang strategik — melonjakkan potensi pertumbuhan negara, memperkukuh taraf hidup rakyat, serta mendorong reformasi dan tadbir urus — dengan tujuh kerangka dasar utama termasuk kelestarian fiskal, pemberdayaan rakyat, pembangunan modal insan, daya saing global dan pertumbuhan inklusif dengan ekuiti sosial.
TA Research turut menekankan, FBMKLCI lazimnya mencatatkan kenaikan menjelang pembentangan belanjawan. Namun selepas peningkatan sekitar 120 mata sejak tiga bulan lalu, ruang kenaikan tambahan mungkin terhad.
Walau begitu, firma itu mengekalkan sasaran FBMKLCI hujung 2025 pada paras 1,660, berasaskan unjuran PER 2026 sebanyak 14.4 kali, dengan keyakinan berhati-hati terhadap prospek 2026 yang lebih kukuh hasil pengurangan ketegangan perdagangan dan geopolitik, pemulihan pendapatan korporat, kestabilan politik domestik serta dasar monetari longgar di Amerika Syarikat yang mampu menarik kembali pelabur asing ke pasaran Malaysia. - DagangNews.com








